Jepun tawar khidmat sewa nenek, jadi tempat 'curhat' selepas putus cinta, peneman ke majlis sebagai ahli keluarga sementara


  • Cinta
  • Rabu, 16 Jul 2025

Seseorang boleh menyewa nenek di Jepun dengan mengikut kriteria pilihan masing-masing menerusi servis ditawarkan OK Grandma.

TIDAK semua orang berpeluang merasai kasih sayang dan belaian seorang nenek dalam tempoh yang lama. 

Pernahkan anda terfikir betapa indahnya jika dapat meluangkan masa dengan seseorang yang lebih berusia dan menikmati hidangan mengimbau kenangan zaman kecil? 

Di Jepun, perkara itu bukan sekadar angan-angan, malah sudah menjadi realiti menerusi satu perkhidmatan unik diberi nama OK Grandma.

BACA LAGI: [VIDEO] Porsche 911 GT3 RS sentuhan kreatif Dua Lipa bakal dilelong, hasil bidaan disalurkan badan amal seni, budaya Kosovo

BACA LAGI: Bentuk 'cold violence' ramai tak sedar, 'spark' perlu usaha dua belah pihak — Pakar

Ditawarkan oleh syarikat Client Services, OK Grandma membolehkan sesiapa sahaja menyewa nenek berusia antara 60 hingga 94 tahun mengikut keperluan dan kesesuaian sama ada untuk menemani, memberi nasihat, memasak atau sekadar menjadi teman berbual.

Dengan bayaran asas sekitar 3,300 yen sejam (anggaran sekitar RM100), pelanggan boleh memilih nenek berdasarkan kriteria tertentu antaranya mahir memasak resipi tradisional Jepun, mampu menjaga anak kecil, malah ada juga yang hanya diperlukan untuk hadir ke majlis sebagai ahli keluarga sementara.

Dilancarkan sejak 2012, OK Grandma kekal sebagai antara perkhidmatan paling popular syarikat tersebut hingga ke hari ini.

Antara barisan nenek yang boleh disewa menerusi servis OK Grandma berusia antara 60 hingga 94 tahun mengikut keperluan dan kesesuaian. 

Menurut Client Services, lebih 100 wanita warga emas kini aktif berkhidmat di bawah perkhidmatan itu dengan masing-masing membawa pengalaman hidup berbeza. 

“Kelebihan usia adalah ketenangan dalam menghadapi perkara kecil. Walaupun mungkin tidak sekuat dulu, kemahiran dalam kerja rumah, membesarkan ana  dan kebolehan berinteraksi dengan penuh empati menjadikan mereka sangat berharga,” kata OK Grandma dalam kenyataan rasminya.

Bukan sekadar memenuhi keperluan praktikal, servis itu juga memenuhi keperluan emosi terutamanya bagi mereka yang kesunyian, tidak punya keluarga dekat atau sekadar merindui suasana kampung halaman yang hangat dengan sentuhan seorang nenek.

Antara kisah pelanggan pernah tular termasuk individu yang menyewa nenek untuk menemaninya selepas berpisah dengan teman lelaki kerana tidak tahu cara meluahkan perasaan. 

Ada juga yang menyewa nenek semata-mata untuk hadir sebagai ‘wakil keluarga’ di majlis perkahwinan kerana tidak cukup saudara-mara.

Setiap sesi bersama nenek pilihan turut melibatkan kos pengangkutan dan perbelanjaan asas yang ditanggung pelanggan. 

Namun, bagi kebanyakan pengguna, kehadiran seorang nenek yang memahami, mendengar dan menyayangi sudah cukup untuk memberi ketenangan dan rasa dihargai.

Bukan kali pertama Jepun mencuri perhatian dunia dengan perkhidmatan luar biasa.

Sebelum ini, negara itu pernah memperkenalkan perkhidmatan menyewa lelaki pertengahan umur (ossan), menyewa individu berbadan besar (debucari) hinggalah servis khas untuk memutuskan hubungan orang lain (wakaresaseya).  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram