Bila waktu terbaik untuk nikah? Berikut panduan pilih tarikh perkahwinan ikut syariat Islam


  • Cinta
  • Khamis, 17 Jul 2025

Tarikh perkahwinan adalah satu keputusan yang perlu dibuat mengikut syariat Islam. — Riasan

CINTA sejati bukan sekadar tentang dua hati yang bersatu, tetapi bagaimana penyatuan itu diraikan dengan penuh adab dan keberkatan. 

Dalam mengejar cinta halal yang diredai Ilahi, memilih tarikh pernikahan bukanlah soal mengikut trend semata-mata, tetapi satu keputusan yang perlu mengikut syariat Islam.

Itulah yang ditekankan oleh penyedia perkhidmatan perkahwinan, Riasan dalam satu hantaran di Facebook tular baru-baru ini. 

BACA LAGI: Gillian dedah bergelut masalah 'body dysmorphia', ketahui tanda-tanda gangguan mental ini, terlampau risau kekurangan fizikal

BACA LAGI: Penapis air RO mudaratkan tubuh, pakar dedah risiko kekurangan mineral penting yang ramai tak sedar

Penyatuan dua hati perlu diraikan dengan penuh adab dan keberkatan.  — Gambar hiasan

Menerusi perkongsian tersebut, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga diingatkan agar tidak memilih tarikh cantik semata-mata, tetapi memulakan kehidupan bersama dengan mematuhi garis panduan Islam.

Tarikh dipenuhi keberkatan

Menurut Riasan, hari-hari seperti Isnin, Khamis dan Jumaat amat digalakkan untuk melangsungkan pernikahan kerana ia adalah hari-hari penuh keberkatan dalam Islam. 

Rasulullah SAW sendiri dilahirkan pada hari Isnin, manakala Khamis dan Jumaat dianggap waktu terbaik memulakan sesuatu baik termasuklah cinta yang halal.

Waktu seperti pagi hari, selepas Maghrib atau selepas Isyak juga dianggap sesuai untuk memulakan perjalanan hidup sebagai suami isteri kerana suasananya yang tenang, khusyuk dan penuh rahmat.

Bulan Syawal pula menjadi pilihan utama dalam Islam untuk mengadakan akad nikah. 

Ia bukan sahaja menandakan kemenangan selepas Ramadan, malah Saidatina Aisyah RA juga dinikahkan oleh Rasulullah SAW dalam bulan ini. 

Ia sekali gus menolak kepercayaan lama bahawa bulan Syawal membawa malang dalam perkahwinan iaitu satu mitos yang tidak berlandaskan agama.

Bulan lain yang turut membawa keberkatan ialah Rabiulawal (bulan kelahiran Nabi SAW), Rajab dan Zulhijjah selagi tidak bertepatan dengan musim haji.

Elak tarikh dilarang

Namun, tidak semua tarikh sesuai untuk diikat dengan lafaz cinta yang agung. 

Islam melarang pernikahan dilakukan ketika dalam ihram atau ketika wanita dalam iddah. 

Ia juga makruh dilakukan pada hari-hari Tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah), 10 hari pertama Zulhijjah, malam Jumaat dan sepanjang bulan Ramadan iaitu waktu-waktu yang lebih sesuai diisi dengan ibadah khusus.

Dalam merancang hari bahagia, aspek praktikal juga tidak boleh diketepikan. 

Lakukan persiapan awal dari segi tempahan dewan, pelamin dan katering agar tidak bertindih dengan majlis lain pada tarikh sama. — Gambar hiasan/Canva

Riasan menasihatkan bakal pengantin agar mempertimbangkan beberapa perkara penting sebelum menetapkan tarikh perkahwinan. 

Cuaca dan musim 

Antaranya ialah faktor cuaca dan musim bagi memastikan suasana majlis selesa untuk para tetamu dan tidak menimbulkan sebarang kesulitan. 

Kehadiran keluarga

Selain itu, kehadiran ahli keluarga juga perlu diutamakan agar insan tersayang dapat bersama-sama menyaksikan detik indah penyatuan cinta. 

Ketersediaan vendor

Tambahan pula, ketersediaan vendor seperti dewan, pelamin dan katering harus dipastikan lebih awal agar tidak bertindih dengan majlis lain yang dijadualkan pada tarikh sama.

Istikharah dan musyawarah

Dalam mencari tarikh terbaik untuk menyulam cinta, jangan lupa dua perkara penting iaitu istikharah dan musyawarah. 

Solat istikharah memohon petunjuk daripada ALLAH SWT, manakala musyawarah atau perbincangan dengan keluarga dapat membantu menyatukan keputusan dua pihak dengan lebih harmoni.

Langkah praktikal pilih tarikh

Berikut langkah-langkah ringkas boleh dijadikan panduan bagi pasangan merancang perkahwinan:

1. Rancang awal

Pasangan digalakkan memulakan perancangan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan sebelum tarikh majlis bagi memastikan segala urusan berjalan lancar dan teratur.

2. Senaraikan tarikh berpotensi

Pilih beberapa tarikh yang sesuai dengan mengambil kira panduan syariat Islam serta faktor praktikal seperti cuti umum, kesesuaian keluarga dan urusan logistik.

3. Sediakan bajet dan semak vendor

Tentukan bajet keseluruhan majlis dan mula membuat semakan awal terhadap penyedia perkhidmatan (vendor) bagi mengelakkan masalah kewangan atau kekangan pada saat akhir.

4. Solat istikharah dan berbincang dengan keluarga

Mohon petunjuk daripada ALLAH melalui solat istikharah dan libatkan keluarga dalam perbincangan agar keputusan yang dibuat mendapat restu serta dipermudahkan.

5. Tempah lokasi dan edarkan jemputan

Setelah tarikh dimuktamadkan, lakukan tempahan lokasi seawal mungkin dan mula mengedarkan jemputan kepada para tetamu untuk memastikan kehadiran dapat dirancang dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram