Rasuah bukan sekadar salah laku kewangan, tetapi ancaman senyap terhadap institusi keluarga


  • Sihat
  • Isnin, 07 Jul 2025

Rasuah boleh menyebabkan kerugian ekonomi dan keruntuhan institusi awam. — Gambar Hiasan

RASUAH bukan sahaja menyebabkan kerugian ekonomi dan keruntuhan institusi awam, malah memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental rakyat di negara ini.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, rasuah yang berleluasa boleh menyebabkan rakyat berasa tidak berdaya, hilang harapan dan mengalami tekanan emosi berpanjangan.

"Rasuah adalah ketidakadilan sosial yang mencetuskan rasa kecewa, sinis dan putus asa dalam kalangan rakyat.

"Ia menghakis keyakinan terhadap sistem, sekaligus menjejaskan kesihatan mental dan hubungan sosial,” katanya.

BACA LAGI: Bukan soal siapa benar, tapi siapa yang mahu belajar, bertahan ketahui 'ujian' 5 tahun awal perkahwinan

BACA LAGI: [VIDEO] Nikita Willy cipta momen istimewa bersama keluarga, rai ulang tahun kelahiran ke-31 di Labuan Bajo

Menurut Dr Andrew, apabila rasuah menjadi kebiasaan dalam urusan harian, rakyat akan mengalami learned helplessness iaitu satu keadaan psikologi yang mendorong mereka percaya bahawa apa sahaja tindakan yang dibuat tidak mampu mengubah keadaan.

“Ini boleh menyebabkan kemurungan dan keresahan terutamanya dalam kalangan anak muda yang berasa masa depan mereka sudah ditentukan oleh orang-orang berkuasa yang hanya utamakan kroni dan bukan rakyat biasa,” katanya.

Tidak hanya itu, rakyat akan terus hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan negara jika skandal rasuah besar tidak disiasat secara telus atau tidak dikenakan tindakan sewajarnya.

Dr Andrew turut memberi amaran bahawa tekanan akibat sistem yang korup memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

“Apabila rakyat berdepan dengan perkhidmatan awam yang lemah, sekolah yang tidak cukup dana, pengangkutan awam yang rosak dan kemudahan kesihatan yang terhad, semua ini menjadi tekanan harian yang menjejaskan kesejahteraan psikologi dan sosial isi rumah,” ujarnya.

Katanya, ketidaksamaan sosial yang diperburuk oleh rasuah turut menyumbang kepada peningkatan gangguan mental seperti kemurungan, penyalahgunaan bahan terlarang dan kes bunuh diri.

"Apabila masyarakat mula menganggap rasuah sebagai sesuatu yang perlu untuk terus hidup, ia bukan sahaja menghakis integriti individu tetapi juga membentuk nilai moral generasi akan datang.

“Anak muda yang membesar dalam persekitaran ini cenderung menganggap rasuah sebagai norma. Ini menurunkan tahap kepercayaan sosial dan menggalakkan sikap mementingkan diri sendiri,” katanya.

Dr Andrew menegaskan bahawa normalisasi itu menyebabkan rakyat terus terperangkap dalam kitaran moral yang rosak, dengan kesan psikologi seperti rasa bersalah, malu dan keletihan emosi (moral fatigue).

Beliau turut mendedahkan bahawa rasuah boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan mental khususnya di negara-negara yang mengalami ketirisan dalam pembekalan ubat, pembangunan infrastruktur dan pengurusan bajet.

“Di negara membangun, program kesihatan mental mudah terpinggir akibat kekurangan perhatian dan ketelusan dalam pelaksanaan. Ketidaktelusan ini berisiko menjejaskan perkhidmatan yang amat diperlukan golongan terpinggir,” katanya.

Tambah beliau, walaupun tiada laporan rasmi mengenai rasuah dalam sektor kesihatan mental di Malaysia, kekangan sumber dan kurangnya pembangunan boleh menjadi petunjuk kepada masalah sistemik yang perlu diberi perhatian.

Mengulas lanjut, bekas Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Mohd Zaki Hassan sebelum ini menyifatkan rasuah sebagai penyakit minda yang memerlukan pendekatan penyembuhan holistik.

“Rasuah mesti dihapuskan dari fikiran. Cara paling berkesan untuk berubah ialah dengan mengubah minda,” katanya semasa Hari Anti-Rasuah Antarabangsa 2023 di Kuching.

Beliau turut memetik laporan Forum Ekonomi Dunia yang menyatakan bahawa rasuah meningkatkan kos menjalankan perniagaan sehingga 10 peratus secara purata.

Dr Andrew menyeru supaya dasar anti-rasuah negara turut mempertimbangkan kesan psikologi terhadap rakyat.

Katanya, kempen kesedaran yang menekankan kerosakan emosi akibat rasuah boleh meningkatkan empati masyarakat dan menggalakkan perubahan tingkah laku.

“Bukan sekadar statistik dan angka, tetapi penceritaan tentang bagaimana rasuah memusnahkan maruah, mencetuskan trauma dan membunuh harapan rakyat perlu diketengahkan,” katanya.

Beliau juga menggesa institusi pendidikan untuk menerapkan pendidikan sivik, etika dan kecerdasan emosi dalam kurikulum bagi membina ketahanan nilai dalam kalangan generasi muda.

“Perjuangan membasmi rasuah adalah juga perjuangan untuk kesihatan mental rakyat,” kata beliau. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram