
APABILA tiba hari bahagia, setiap pasangan pasti mengimpikan majlis yang sempurna, tersusun dan bebas sebarang kekecohan.
Namun, ada banyak perkara kecil yang sering diabaikan, padahal sangat penting dalam memastikan majlis berlangsung dengan tenang.
Berikut ialah lima tip dikongsikan oleh sebuah perniagaan doorgift tempatan yang mungkin jarang disebut, tetapi amat berguna buat bakal pengantin bag mengelakkan situasi kelam-kabut pada hari bahagia:
Papan tanda di pintu bilik pengantin membantu menjaga privasi dan mengelakkan tetamu keluar masuk sesuka hati semasa sesi persiapan berlangsung.— Threads/@fikrinawawi
1. Letak papan tanda 'no entry' di pintu bilik pengantin
Ramai tidak menyedari bahawa tanpa papan tanda, bilik pengantin boleh menjadi laluan umum. Orang akan keluar masuk sesuka hati, termasuk ketika pengantin sedang menukar pakaian.
Ini boleh menyebabkan situasi tidak diingini seperti aurat yang terdedah.
Papan tanda seperti 'No Entry! Khas untuk Pengantin, Jurusolek, Jurugambar dan Pembantu' mampu memberi privasi dan elakkan kekeliruan.
2. Wujud kumpulan WhatsApp petugas majlis
Elak memasukkan terlalu ramai orang dalam satu kumpulan. Cukup sekadar mereka yang mengendalikan tugas di lokasi seperti jurusolek, jurugambar, pengacara majlis dan pembantu pengantin.
Kumpulan ini berfungsi sebagai saluran komunikasi pantas agar segala maklumat penting dapat disampaikan tanpa gangguan.
3. Label semua barang berkaitan majlis
Hari majlis adalah waktu yang sibuk. Pengantin tidak akan sempat menjawab soalan seperti 'barang ini untuk siapa?'
Oleh itu, label seperti rang pelamin, barang pengantin atau barang meja hadapan' akan membantu orang lain mengenal pasti fungsi setiap barangan dan mengurangkan kekeliruan.
Kit kecemasan boleh menjadi penyelamat jika ada saat tidak dijangka pada hari majlis perkahwinan. — Media sosial
4. Sediakan keperluan kecemasan majlis
Masalah kecil seperti baju kotor, kasut longgar atau sakit kepala boleh menjejaskan kelancaran majlis.
Kit kecemasan seperti plaster, panadol, minyak angin, kipas mudah alih, tali rafia dan pita pelekat berganda sangat berguna untuk situasi tidak dijangka.
Lebih baik bersedia awal daripada terpaksa kelam-kabut.
5. Reka kata rahsia antara pengantin, pembantu
Reka satu kata rahsia yang hanya difahami antara pengantin dan pembantu terdekat.
Kata ini boleh digunakan apabila pengantin berasa tidak selesa, letih atau perlu bantuan segera, tanpa menarik perhatian orang ramai.
Kaedah ini memudahkan komunikasi dan membantu menjaga ketenangan pengantin sepanjang majlis.
Tip yang nampak kecil tetapi sebenarnya besar kesannya. Ia bukan sahaja menjadikan majlis lebih tersusun, tetapi membantu pengantin kekal tenang dan selesa sepanjang hari bersejarah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram