
MENDEDAHKAN aib pasangan dianggap sebagai perbuatan paling hina di sisi ALLAH SWT, tegas pendakwah terkenal, Wadi Annuar.
Menerusi satu hantaran di Instagram, beliau mengingatkan bahawa amanah dalam rumah tangga bukan hanya terbatas kepada penyediaan nafkah zahir dan batin, tetapi turut merangkumi penjagaan maruah pasangan.
"Rasulullah SAW pernah mengingatkan, suami atau isteri yang mendedahkan aib pasangannya akan mendapat seburuk-buruk tempat di sisi ALLAH pada hari kiamat," katanya.
Wadi turut berkongsi satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi ALLAH pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut." (Hadis Riwayat Muslim)
Pemilik nama sebenar Mohamad Wadi Annuar Ayub itu menekankan bahawa perkahwinan adalah satu ikatan yang penuh amanah iaitu kedua-dua suami dan isteri bertanggungjawab menjaga aib serta kehormatan masing-masing.
“Membuka aib pasangan ibarat menconteng arang di muka sendiri dan seluruh ahli keluarga termasuk ibu bapa serta anak-anak. Lebih parah jika aib itu dicanang secara terbuka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memetik firman ALLAH SWT dalam al-Quran:
"Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka," [Surah al-Baqarah ayat 187]
Jelasnya, ayat itu menggambarkan betapa erat dan terpeliharanya hubungan suami isteri, saling melindungi dan menutupi kekurangan antara satu sama lain, sebagaimana fungsi pakaian kepada tubuh.
Beliau turut mendoakan agar semua pasangan suami isteri diberikan kekuatan untuk menjaga amanah rumah tangga yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Semoga ALLAH SWT lindungi kita daripada termasuk dalam golongan yang disebutkan Rasulullah SAW,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram