
DUA wanita dari Australia menjadi perhatian dunia selepas mendedahkan mereka mampu mengingati hampir setiap hari dalam hidup mereka iaitu sejak kecil hingga kini.
Rebecca Sharrock dan Emily Nash disahkan menghidap Highly Superior Autobiographical Memory (HSAM) atau Hyperthymesia, satu keadaan neurologi yang jarang berlaku.
Ia menyebabkan seseorang boleh mengingati setiap peristiwa dalam hidup dengan sangat terperinci, seolah-olah semua kenangan masih bermain di kepala.
"Otak saya macam kalendar. Setiap tarikh saya boleh ingat macam tengok filem. Saya boleh ulang semula hari itu dari awal sampai habis,” kata Emily dalam rancangan televisyen, 60 Minutes Australia.
Lebih mengejutkan, Emily berkata, dia masih ingat dengan jelas sewaktu mula berjalan termasuk dikejar ibu bapanya kerana terlalu teruja melihat dia bergerak aktif.
Rebecca pula mengakui dia sudah menyedari perbezaan dirinya sejak kecil, tetapi hanya mendapat pengesahan perubatan lebih 12 tahun lalu.
“Saya boleh ingat hampir 95 peratus daripada hidup saya. Dari umur beberapa bulan sampai sekarang, semua masih ada dalam fikiran,” katanya.
Namun, di sebalik keistimewaan itu, kedua-duanya mengakui hidup dengan HSAM bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurut Rebecca, memori silam sering muncul secara tiba-tiba tanpa sebab termasuk kenangan pahit yang dia sendiri ingin lupakan.
“Saya tak boleh kawal. Tiba-tiba ingatan itu datang sewaktu siang atau malam. Kadang-kadang sampai tak boleh tidur,” katanya.
Lebih sukar, Rebecca berkata, setiap kali kenangan buruk datang, dia turut merasai semula perasaan ketika itu.
“Kalau saya ingat kejadian masa umur tiga tahun, saya rasa semula emosi saya masa tu. Walaupun saya dah dewasa, rasa takut atau sedih tu tetap datang,” katanya.
Dia turut berkongsi rasa kecewa apabila orang sekeliling menyangka dia terlalu ‘berpegang’ pada perkara negatif.
“Orang cakap saya tak move on. Tapi saya tak boleh lupakan iaitu otak saya memang tak padam benda tu,” jelasnya.
Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk HSAM.
Rebecca berkata, hidup dengan ingatan seperti itu menjadikan dia berasa sangat terasing.
“Nampak macam satu kelebihan, tapi sebenarnya ia sangat meletihkan. Kadang-kadang saya cuma nak rasa macam orang biasa iaitu boleh lupa," katanya.
HSAM kini terus menjadi kajian para saintis neurologi, dengan banyak persoalan masih belum terjawab termasuk bagaimana otak individu seperti Rebecca dan Emily mampu menyimpan memori jangka panjang secara luar biasa dan mengapa sesetengah kenangan tidak pernah pudar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram