'Terima kasih, betapa besarnya makna ini untuk saya', sambut ulang tahun sendirian, gadis terharu, staf kedai hadiahkan manisan coklat


  • Cinta
  • Khamis, 26 Jun 2025

Seorang gadis yang menyambut ulang tahun sendirian terharu apabila menerima hadiah kek coklat daripada staf bertugas di kedai bakeri pada Jumaat. — Gambar hiasan/Freepik AI

"TERIMA kasih, terima kasih sangat. Awak tak tahu betapa besarnya makna ini untuk saya."

Itulah luahan ringkas terpacul dalam tangisan seorang gadis selepas menerima sepotong kek hadiah daripada pekerja kedai roti dan kek.

Kisah menyentuh hati itu dikongsi oleh Na’imullah Noor Badaruddin di laman Threads selepas bertemu pelanggan tersebut yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 sendirian.

BACA LAGI: Pengantin tahan sebak, lafaz ijab kabul sebelah keranda bapa, meninggal dunia beberapa jam sebelum majlis

BACA LAGI: Demi cinta lelaki rugi RM760,000 ditipu 'kekasih', labur beli unit kondo tidak wujud, rupanya ada 'plot twist'

Menurut Na’imullah, kejadian itu berlaku pada malam Jumaat lalu di sebuah pusat beli-belah ketika beliau sedang bertugas.

“Gadis itu nampak ceria sewaktu memilih kek. Dia pilih kek karamel keju dan minta tulis ucapan ‘Selamat Hari Lahir Brenda’ pada kad. Saya sangka dia nak raikan dengan rakan atau keluarga,” tulisnya.

Namun, situasi berubah apabila gadis itu akhirnya mengakui bahawa kek itu sebenarnya dibeli untuk dirinya sendiri.

“Saya tanya, ‘Sambut dengan siapa?’ Dia jawab, ‘Saya sorang je’. Waktu tu, saya nampak senyuman dia dah tak sama. Mata sayu, tapi dia cuba sembunyikan," katanya.

Tersentuh dengan jawapan itu, Na’imullah bertindak spontan menghadiahkan manisan perisa coklat sebagai tanda ingatan kecil.

Kisah menyentuh hati ini dikongsi oleh Na’imullah Noor Badaruddin di laman Threads selepas bertemu pelanggan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 sendirian.

“Saya tanya dia suka coklat atau tidak, dan dia cuma jawab ‘ya’. Bila saya berikan pencuci mulut tu dan kata ia hadiah untuk ulang tahunnya, mata dia terus bergenang. Dia tanya, ‘Kenapa?’”

“Saya jawab ringkas saja… saya pernah rasa juga dahulu. Dunia ni kadang-kadang memang tempat yang sunyi," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya tampil memberi sokongan moral kepada gadis bernama Brenda itu, yang hanya dikenali melalui sekeping kek dan satu nama kecil di atas kad.

Manakan tidak, ulang tahun tanpa insan tersayang apatah lagi bersendirian pastinya menimbulkan rasa sunyi.

Seorang pengguna, Delydhlia turut berkongsi pengalamannya menyambut hari lahir seorang diri.

“Saya faham perasaan tu. Pernah juga sambut sorang-sorang pukul 12 tengah malam.

"Tanpa disangka, kedai kek di Depok buat kejutan walaupun saya tak minta apa-apa," katanya.

Pengguna lain, Airilshaari pula berkongsi kisahnya menyambut ulang tahun bersendirian selepas kehilangan ibu.

"Brenda, kalau awak terbaca ni, selamat ulang tahun ke-21. Tak mengapa sambut sendiri. Saya juga pernah laluinya lepas kehilangan ibu.

"Kita masih ada diri sendiri untuk beri kebahagiaan walau orang lain tak ada," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram