[VIDEO] 'Kami di sini untuk pemandangan, so worth it', Juliana Marins sempat rakam vlog sebelum terjatuh dalam gaung Gunung Rinjani


  • Maya
  • Khamis, 26 Jun 2025

Juliana sempat merakam vlog ringkas sambil memuji keindahan Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia sebelum dia ditemui meninggal dunia.

PENDAKI wanita dari Brazil, Juliana Marins sempat merakam vlog ringkas sambil memuji keindahan Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia sebelum dia ditemui meninggal dunia akibat terjatuh ke jurang sedalam 600 meter.

Rakaman berdurasi kurang seminit yang tular di media sosial itu menunjukkan wanita berusia 26 tahun terbabit bersama rakannya di kawasan pangkalan perkhemahan gunung.

“Sekarang kita di pangkalan perkhemahan, pemandangan sangat menakjubkan. Awak boleh tengok… so worth," kata rakan Juliana.

Marins pula tersenyum dan berkata, “Kami mendaki untuk pemandangan ini jadi saya rasa seronok."

Tidak disangka, rakaman itu menjadi memori terakhir antara Juliana bersama rakannya.

BACA LAGI: Wanita rasa terabai, teman lelaki terlalu leka permainan video sampai 7 jam, jejas keharmonian hubungan

BACA LAGI: 'Terima kasih, betapa besarnya makna ini untuk saya', sambut ulang tahun sendirian, gadis terharu, staf kedai hadiahkan kek coklat

Sebelum ini, pihak berkuasa berkata, mangsa dilaporkan tergelincir ketika melalui laluan curam pada Sabtu lalu.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan sejurus laporan dibuat, namun operasi berdepan kesukaran akibat cuaca buruk.

Selepas empat hari pencarian, pasukan SAR berjaya mengesan mayat mangsa menggunakan dron.

Seorang anggota penyelamat kemudian turun ke lokasi pada kedalaman 600 meter dan mengesahkan Marins sudah tidak bernyawa.

Gunung Rinjani, setinggi 3,726 meter merupakan antara destinasi pendakian popular di Asia Tenggara.

Namun, kawasan lerengnya yang curam sering mencabar pendaki terutama ketika cuaca tidak menentu.

Pihak berkuasa tempatan menasihatkan semua pendaki agar mengambil langkah keselamatan lebih ketat dan tidak memandang ringan risiko di kawasan berisiko tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram