'Bercinta 9 tahun, kahwin hanya bertahan setahun', sediakah kita selami realiti, sisi buruk pasangan?


  • Cinta
  • Ahad, 22 Jun 2025

Hubungan percintaan yang bertahun-tahun lamanya belum tentu menjamin kebahagiaan rumah tangga. — Gambar Hiasan

HUBUNGAN cinta yang bertahun-tahun lamanya belum tentu menjamin kebahagiaan rumah tangga.

Itulah realiti yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Nurul Diana apabila mendedahkan kisah rakannya yang bercerai hanya selepas setahun berkahwin, walaupun sudah menjalinkan hubungan cinta selama sembilan tahun.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai warga maya sehingga membuka perbincangan hangat mengenai perbezaan ketara antara fasa percintaan dan kehidupan selepas akad nikah.

BACA LAGI: Tak jadi nikah sebab tunang positif HIV, lelaki buntu cara nak minta pulangkan wang hantaran, berikut penjelasan peguam syarie

BACA LAGI: Jangan sembarangan jika mahu hadiahkan bunga buat insan tersayang, setiap warna mawar bawa maksud tersendiri

Menurut Nurul Diana, tempoh percintaan yang panjang tidak memberi gambaran sebenar tentang alam perkahwinan.

"Sewaktu bercinta, lima hingga 10 tahun pun setiap hari sanggup video call, kongsi lokasi dan setiap hujung minggu keluar tetapi semua itu hanya demo sebelum memasuki alam sebenar. Kahwin adalah ‘real game’," katanya. 

Sisi sebenar pasangan hanya muncul selepas berkahwin

Beliau turut menekankan bahawa kehidupan bersama sebagai suami isteri membuka lembaran baharu yang tidak pernah didedahkan ketika bercinta. 

"Tinggal sebumbung, tidur sebantal dan sekatil sehingga kadangkala masing-masing menjadi tidak ‘sekepala’. Selimut pun boleh berebut! Itulah ujian utama dalam fasa awal perkahwinan." katanya.

Ini kerana, kebiasaannya, pasangan cenderung menampilkan hanya sisi terbaik diri masing-masing semasa bercinta. 

Namun, selepas perkahwinan, segala perangai yang selama ini disembunyikan akan terserlah sehingga menjadikan fasa awal perkahwinan ibarat melihat rakaman ‘tanpa suntingan’. 

"Perkara-perkara kecil seperti terlupa menekan flush, pakaian bersepah atau tabiat buruk seperti mengorek hidung sambil menonton TV boleh mencetuskan konflik. 

"Ada juga kes rumah tangga yang berakhir hanya kerana perkara remeh-temeh.

"Tetapi kalau dua-dua sanggup melalui jalan hidup bersama sampai bila-bila, itulah cerita yang akan dikenang sampai tua," kata Nurul Diana. 

Menjengah ke ruangan komen, ramai pasangan mengakui itu adalah hakikat yang perlu diterima sebelum memasuki alam perkahwinan.

"Betul, bercinta dari umur 16 tahun hingga kawin umur 22 tahun. Lepas kawin itu terasa macam kejutan budaya, rupanya alam bercinta tak sama dengan alam perkahwinan. 

"Banyak bergaduh untuk saling adapt dengan diri dan family masing-masing. Dekat empat tahun baru boleh mula terima itu ini. Itu pun ada juga kadang benda yang boleh undang pergaduhan.

"Sekarang masing-masing sudah 31, baru 9 tahun berumah tangga tetapi masih lagi sama-sama belajar untuk reda dan terima setiap kekurangan masing masing," tulis Bi Ha. 

Ada juga individu yang mendapat pasangan yang perangainya berubah lebih baik selepas berkahwin. 

"Tujuh tahun bercinta, lapan tahun berkawin. Waktu bercinta perangai teruk sangat. Sudah kawin alhamdulilah pasangan yang baik buat anak-anak," tulis Aisha Tey. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram