Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda


  • Sihat
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Gaya seseorang memegang telefon boleh mendedahkan personaliti diri sendiri. — Gambar hiasan

TANPA disedari, gaya kita memegang telefon pintar setiap hari sebenarnya boleh mendedahkan sisi tersembunyi dalam personaliti diri.

Bukan sekadar pilihan ergonomik, menurut beberapa kajian psikologi tingkah laku, tabiat itu mencerminkan cara kita berfikir, membuat keputusan dan berinteraksi dengan orang sekeliling.

Daripada satu tangan yang lincah menggerakkan ibu jari hinggalah ke dua tangan yang mengawal penuh peranti, setiap gaya membawa maksud yang berbeza.

BACA LAGI: Nak beli rumah pertama? Ketahui 10 tip ini untuk elak tersilap langkah dan menyesal kemudian hari

BACA LAGI: Lepas 'berhijrah' ke Pulau Siargao, Ben Amir buka Rasa Siargao perkenal masakan Malaysia

Tindakan yang kelihatan sebagai rutin biasa sebenarnya menyimpan petunjuk penting mengenai diri kita sebenar.

Berikut adalah empat gaya memegang telefon paling biasa dan personaliti diri:

1. Pegang dengan satu tangan, guna ibu jari tangan sama

Jika itu cara menggunakan telefon, anda berkemungkinan seorang yang yakin, berani dan optimis.

Anda tidak mudah goyah dengan cabaran, malah menghadapinya secara terus dan spontan. 

Anda gemar mengambil peluang dan tidak takut untuk keluar dari zon selesa.

Namun, kecenderungan anda untuk bergerak pantas boleh menyebabkan anda terburu-buru dalam membuat keputusan dan mengabaikan perincian penting.

Memegang telefon dengan dua tangan,  tetapi menggunakan satu jari menggambarkan seseorang yang peka.  Gambar hiasan

2. Pegang telefon dengan dua tangan, tetapi guna satu ibu jari

Gaya itu menggambarkan anda seorang berhati-hati, teliti dan peka terhadap persekitaran. 

Anda tidak terburu-buru dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang matang.

Selain itu, mudah membaca karakter orang lain dan sering menjadi tempat rujukan kerana sikap anda yang tenang dan rasional.

Namun begitu, anda mungkin sukar memberi peluang kedua dan berpegang teguh kepada prinsip hidup yang jelas.

Memegang telefon guna dua tangan dan kedua-dua ibu jari mencerminkan seseorang itu bertenaga.  Gambar hiasan

3. Pegang telefon dengan dua tangan, guna kedua-dua ibu jari

Jika memegang telefon dengan cara itu, anda seorang yang bertenaga, cepat bertindak dan mampu menyesuaikan diri dengan mudah. 

Anda pantas membuat analisis dan menyelesaikan masalah, malah gemar berada dalam persekitaran yang mencabar dan kompetitif.

Dalam majlis sosial, anda sering menjadi tumpuan dan membawa suasana ceria. Namun dalam urusan serius, anda boleh berubah menjadi fokus dan tegas. 

Bagi anda, masa sangat berharga sehinggakan 24 jam sehari kadangkala dirasakan tidak mencukupi.

4. Pegang telefon dengan satu tangan, guna jari telunjuk tangan lain

Gaya itu menunjukkan anda seorang yang tenang, matang dan penuh pertimbangan. 

Anda tidak tergesa-gesa membuat keputusan dan lebih suka menilai semua pilihan sebelum bertindak. 

Pendapat anda sering dihormati kerana ia lahir daripada pengalaman hidup dan pemerhatian yang tajam.

Anda juga mempunyai imaginasi yang kuat dan karisma semula jadi.

Walaupun anda agak memilih dalam berkawan, sesiapa yang mengenali anda pasti menghargai perbualan dan kehadiran anda.  Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram