Ini sebabnya ibu bapa tak boleh paksa, gunakan ayat 'habiskan makanan awak' kepada anak


  • Bonda
  • Khamis, 19 Jun 2025

Ibu bapa boleh menggantikan frasa berunsur paksaan dengan ayat bersifat lebih terbuka untuk menyokong pilihan makanan ingin dinikmati anak-anak. — Gambar hiasan/Freepik

AYAT seperti 'habiskan makanan kamu' sering dilontarkan ibu bapa kepada anak-anak sebagai dorongan untuk mereka makan. 

Namun, frasa yang kelihatan biasa itu berisiko memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi dan tabiat makan si kecil.

Pakar psikologi dan pemulihan gangguan makan dari Amerika Syarikat, Lara Zibarras menjelaskan bahawa memaksa anak menghabiskan makanan boleh menyebabkan mereka hilang keupayaan mengenal pasti isyarat kenyang secara semula jadi.

“Apabila kanak-kanak dipaksa menghabiskan makanan, mereka belajar untuk mengabaikan rasa kenyang dan terus makan walaupun sudah berasa tidak selesa,” katanya.

BACA LAGI: Kahwin bukan sekadar cinta! Si bujang 'take note' nasihat orang berpengalaman sebelum dirikan rumah tangga

BACA LAGI: Cemburu sampai 'overthinking'? Ketahui 4 cara bijak tenangkan hati demi keharmonian hubungan cinta

Selera makan kanak-kanak boleh berubah-ubah mengikut keperluan tubuh. — Gambar hiasan

Jelas beliau, tindakan itu boleh mencetuskan tabiat makan berlebihan dan meningkatkan risiko gangguan makan apabila mereka meningkat dewasa.

Zibarras turut menekankan bahawa selera makan kanak-kanak boleh berubah-ubah mengikut keperluan tubuh dan aktiviti harian mereka. 

Ini menyebabkan ada kalanya mereka terasa lebih lapar selepas sudah aktif bergerak dan ada masanya mereka kurang berselera untuk menikmati sebarang hidangan. 

"Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga ada hari tertentu mereka makan lebih banyak, contohnya semasa fasa pertumbuhan atau selepas banyak bermain. 

"Namun ada juga hari mereka tidak begitu lapar dan itu bukan satu masalah,” kata Zibarras. 

Namun, jika ibu bapa terus memberi tekanan, ia boleh mewujudkan perasaan takut atau cemas terhadap waktu makan, sekali gus mengganggu hubungan sihat anak dengan makanan.

“Lama-kelamaan, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk berhenti makan walaupun sudah kenyang, lalu membawa kepada kebimbangan tentang makanan dan gangguan pemakanan,” kata Zibarras.

Sebagai pendekatan lebih sihat, pakar menyarankan agar ibu bapa mendidik anak mengenal isyarat tubuh termasuk rasa lapar dan kenyang sejak dari kecil.

Zibarras mencadangkan agar ibu bapa bertanya soalan yang membantu anak mengenali keperluan tubuh mereka seperti:

- “Seberapa lapar awak sekarang?”

- “Badan  rasa macam mana selepas makan tadi?”

Bagi kanak-kanak yang lebih besar, skala kelaparan dari 1 hingga 5 boleh digunakan untuk membantu mereka mengenal pasti tahap lapar dengan lebih jelas.

“Sebenarnya, bayi sudah menunjukkan tanda semula jadi apabila kenyang seperti memalingkan muka atau menolak botol susu.

"Kita hanya perlu bantu mereka kekalkan keupayaan ini ketika membesar,” kata Zibarras.

Sebaliknya, ibu bapa boleh menggantikan frasa berunsur paksaan dengan ayat yang lebih bersifat terbuka dan menyokong pilihan anak seperti: 

- Daripada menggunakan ayat: “Ini makanan kamu, habiskan.”

  Ganti dengan ayat: “Cuba rasa makanan ini dan ambil bahagian yang kamu suka.”

- Daripada menggunakan ayat: “Makanan ini sihat, jadi kamu perlu habiskan.”

  Ganti dengan ayat: “Tahu tak makanan ini dibuat daripada apa? Cuba rasa dan beritahu.”

- Daripada menggunakan ayat: “Kamu mesti makan, nanti lapar.”

  Ganti dengan ayat: “Kalau tak lapar sekarang, tak mengapa. Boleh makan bila dah bersedia.”

- Daripada menggunakan ayat: “Makan dulu, baru boleh pencuci mulut.”

  Ganti dengan ayat: “Lepas makan nanti, kamu boleh pilih pencuci mulut sendiri.” — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram