Kahwin bukan sekadar cinta! Si bujang 'take note' nasihat orang berpengalaman sebelum dirikan rumah tangga


  • Relaks
  • Selasa, 13 Mei 2025

Menilai pasangan sebelum berkahwin penting untuk mengelak daripada menyesal di kemudian hari. — Gambar hiasan

PERKAHWINAN merupakan satu perjalanan hidup yang penuh cabaran dan tanggungjawab.

Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, ramai yang menganggap bahawa cinta menjadi asas utama, namun ada yang berpendapat bahawa cinta semata-mata tidak mencukupi.

Di laman Threads, satu perkongsian mengenai nasihat sebelum berkahwin menarik perhatian apabila ramai warga maya memberikan pandangan berharga masing-masing yang boleh dijadikan panduan oleh mereka yang belum mendirikan rumah tangga.

BACA LAGI:  Bukan setakat 'handmade card', si kecil kongsi cara tersendiri hargai insan tersayang sempena Hari Ibu

BACA LAGI:  [VIDEO] 'Jangan tinggal solat, hormati masa orang' antara pesanan ibu jadi panduan hidup

Banyak aspek yang perlu dititikberatkan sebelum mendirikan rumah tangga. — Gambar hiasan

Seorang pengguna, Idayu Jasni mengingatkan orang ramai agar tidak memilih pasangan berdasarkan kekayaan semata-mata. 

“Pilihlah pasangan yang rajin berusaha mencari rezeki untuk keluarga.

"Duit boleh datang dan pergi tetapi yang penting adalah usaha dan pengorbanan pasangan dalam mencari nafkah," katanya. 

Athena Zeuss pula mengingatkan bahawa seseorang itu harus terlebih dahulu menjadi baik sebelum berharap mendapat pasangan yang baik. 

"Nak jumpa jodoh yang baik, jadi baik dulu. Jangan rasa diri cukup baik tetapi sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri," katanya.

Menerusi pandangannya, pasangan yang baik juga akan mengutamakan usaha untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari.

Individu lain, Itszmelly pula mengingatkan agar tidak merendahkan diri atau cuba mengubah pasangan selepas berkahwin.

"Jangan ada pemikiran 'nanti lepas kahwin dia akan berubah'. Orang yang tidak mahu berubah tetap tidak akan berubah," jelasnya. 

Oleh itu, sebelum berkahwin, pastikan kita menerima pasangan dengan segala kekurangan dan kelebihan mereka.

Aspek agama adalah perkara penting dalam memilih pasangan hidup. — Gambar hiasan

Sementara itu, warga maya, Hye mymy99 berkongsi pandangan mengenai keputusan untuk berkahwin yang perlu difikirkan dengan teliti. 

“Fikirkan 100 kali. Tanya hati dan akal, sanggupkah untuk berhadapan dengan kerenah pasangan?

"Sanggupkah menjaga mereka di saat susah, menerima kekurangan mereka dan solat jemaah bersama?" katanya.

Menurutnya, persediaan mental dan emosi adalah aspek penting sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Ninaredhuan pula mengingatkan bahawa perkahwinan tidak perlu diiringi dengan majlis besar-besaran tetapi menekankan pentingnya menyimpan wang untuk perbelanjaan selepas berkahwin. 

“Gunakan duit untuk kehidupan selepas berkahwin.

"Jika tidak mampu, jangan berhutang semata-mata untuk menarik perhatian orang lain," katanya. 

Beliau juga menekankan pentingnya pasangan yang saling mendalami agama kerana pemahaman agama yang kuat dapat memperkukuh hubungan.

Raraooonana yang pernah mengalami kegagalan dalam pertunangan turut berkongsi pengalamannya.

"Perkahwinan bukan hanya tentang cinta tetapi juga tentang kesabaran dan ketahanan dalam menghadapi masalah. 

"Jika pasangan tidak dapat mengawal kemarahan, lebih baik tinggalkan hubungan itu sebelum ia menjadi lebih buruk," jelasnya.

Bagi Yattmohdyusof , perkahwinan lebih kepada tanggungjawab bukan sekadar rasa cinta semata. 

"Cinta dan kebahagiaan hanya bertahan dalam 10 tahun pertama sahaja. Selepas itu, semuanya tentang tanggungjawab. 

"Pilih pasangan yang sama-sama bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu hingga akhir hayat," tambahnya. 

Menurutnya, tanggungjawab dalam perkahwinan melibatkan banyak aspek, bukan hanya kewangan tetapi juga emosi dan keagamaan.

Perkara itu turut disetujui oleh, Mard.amirr yang turut nasihat agar memilih pasangan yang mengutamakan agama. 

"Jangan berkahwin kerana kecantikan atau fizikal semata-mata. Agama adalah asas yang paling penting.

"Tidak perlu yang terlalu alim tetapi pastikan mereka tahu dan amalkan asas agama terutamanya dalam solat," katanya.

Zamrudyong turut berkongsi pesan ibu beliau yang begitu mendalam.

"Jangan pilih pasangan hanya untuk diri sendiri, pilihlah mereka yang mampu menjadi ibu atau bapa yang baik untuk anak-anak kita kelak," katanya.  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram