
SEORANG kanak-kanak, Naiya White yang berusia 10 tahun dari Colorado, Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian ramai kerana minatnya terhadap solekan dan penjagaan kulit sejak berusia tiga tahun.
Kini, beliau memiliki lebih 200 produk kecantikan bernilai hampir RM10,000 dan mengamalkan rutin harian sembilan langkah penjagaan kulit serta 11 langkah solekan.
“Saya bangga jadi Sephora Kids," kata murid tahun empat itu yang menghabiskan hingga 45 minit setiap pagi untuk rutin kecantikannya.
BACA LAGI: Anak bukan rebutan emosi, teliti undang-undang sebelum ambil hak penjagaan lepas bercerai
BACA LAGI: Bosan gaya lama? Trend 'bouquet' ala 'clutch' semakin diminati pengantin, ini 6 idea gubahan menarik
Ibu Naiya yang merupakan bekas jurusolek turut memantau minat anaknya. — Agensi
Beliau juga tidak akan keluar rumah tanpa membawa sekurang-kurangnya tujuh lip gloss dalam beg tangan.
Fenomena seperti Naiya kini semakin meluas. Golongan ini dikenali sebagai ‘Sephora Kids’ iaitu kanak-kanak yang lebih berminat terhadap alat solek mewah berbanding permainan.
Mereka terpengaruh dengan kandungan media sosial dan sanggup ke pusat sehenti kecantikan seperti Sephora untuk mendapatkan produk daripada jenama terkenal seperti Morphe dan Drunk Elephant.
Namun, ada yang mendakwa kanak-kanak ini membeli produk yang tidak sesuai seperti krim anti-penuaan, selain berkelakuan kurang sopan terhadap kakitangan kedai.
Ramai juga berpendapat sesetengah produk tidak patut digunakan oleh kanak-kanak.
Ibu Naiya yang juga merupakan bekas jurusolek, Ashley Paige memantau minat anaknya dengan teliti.
Beliau hanya membenarkan penggunaan produk yang sesuai untuk usia seperti pelembap, pencuci muka dan pelindung matahari.
“Saya ajar anak makan sihat dan jaga kesihatan mental, jadi kenapa tidak penjagaan kulit?” kata Paige.
“Saya tidak galakkan penggunaan krim anti-kedut, tetapi penting untuk semua orang melindungi kulit daripada sinaran matahari dan memastikan ia sentiasa lembap.
Naiya turut mempertahankan minatnya terhadap penjagaan diri.
“Kalau budak ada banyak jerawat, orang akan suruh dia jaga kulit. Tapi bila saya jaga kulit, mereka kata saya terlalu muda,” katanya.
Menurut beliau, penjagaan kulit tidak sepatutnya dikaitkan dengan usia. Apa yang penting ialah kesedaran dan pengetahuan sejak kecil. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram