
CEMBURU sememangnya satu perasaan semula jadi dalam hubungan percintaan.
Ia sering muncul tanpa diundang, kadangkala hanya kerana pasangan ketawa bersama rakan sekerja atau menyukai foto bekas kekasih mereka di media sosial.
Hati mula rasa tidak selesa, fikiran mula berputar dengan pelbagai andaian.
Namun, jika dibiarkan berlarutan tanpa kawalan, rasa cemburu boleh bertukar menjadi racun yang perlahan-lahan meretakkan kepercayaan dan keharmonian dalam perhubungan.
Menurut beberapa pakar psikologi dan kaunselor hubungan yang dipetik dalam laporan majalah Self, perasaan cemburu sebenarnya boleh diurus dan dikawal dengan cara yang sihat dan matang.
Berikut adalah empat cara bijak yang bukan sahaja membantu mengurangkan rasa curiga, tetapi juga mengukuhkan asas kepercayaan antara dua insan yang sedang bercinta.
Salah satu cara terbaik untuk memahami perasaan sendiri ialah dengan menulis jurnal. — Gambar Hiasan
1. Luahkan Perasaan Melalui Jurnal
Ramai yang tidak selesa untuk dilabelkan sebagai kuat cemburu sehingga memendam rasa.
Namun, memendam perasaan sebenarnya boleh memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.
Menurut ahli terapi perkahwinan dan keluarga, Sarah Epstein, cemburu yang tidak diuruskan boleh meletus menjadi tuduhan atau konflik yang tidak perlu.
Salah satu cara terbaik untuk memahami perasaan sendiri adalah dengan menulis jurnal.
Sebagai contoh, jika anda berasa tidak selesa apabila pasangan menyukai gambar seseorang di media sosial, tuliskan perasaan itu di buku.
Dengan menulis, anda boleh melihat situasi dengan lebih objektif iaitu adakah ia benar-benar masalah dalam hubungan atau sekadar refleksi daripada luka lama dalam diri.
2. Periksa Fakta Sebelum Bertindak
Apabila cemburu menguasai fikiran, otak kita cenderung mencipta senario terburuk walaupun tanpa bukti kukuh.
Menurut ahli terapi dari California, Alex Ly, pemikiran negatif yang didorong oleh rasa cemburu selalunya hanyalah rekaan minda.
Sebelum anda membuat andaian atau bertindak balas secara emosi, tarik nafas dalam-dalam dan tanyakan kepada diri sendiri seperti 'adakah ini benar-benar berlaku atau hanya imaginasi saya?'.
Langkah itu bukan sahaja menenangkan perasaan tetapi juga mengelakkan salah faham yang boleh meretakkan hubungan.
Mencari tahu masa lalu pasangan hanya akan membuka ruang kepada rasa perbandingan. — Gambar Hiasan
3. Hentikan Kebiasaan Menggali Masa Lalu Pasangan
Rasa ingin tahu tentang bekas kekasih pasangan memang lumrah, tetapi jika dibiarkan, ia boleh menjadi racun dalam hubungan.
Menggali masa lalu hanya membuka ruang kepada perbandingan dan rasa tidak cukup.
Langkah terbaik ialah dengan meletakkan sempadan sihat seperti mengelak diri daripada mengikuti perkembangan bekas kekasih pasangan di media sosial atau berhenti membicarakan topik yang boleh menimbulkan rasa curiga.
Fokus pada masa kini dan bina kepercayaan berdasarkan hubungan yang sedang berlangsung, bukan kisah lama yang sudah berlalu.
4. Fokus Pada Kebaikan dan Detik Indah Bersama
Daripada membiarkan fikiran dihantui oleh perkara negatif, cuba alihkan perhatian kepada momen-momen manis yang telah anda kongsi bersama pasangan.
Tulis detik-detik kecil yang menunjukkan pasangan anda boleh dipercayai seperti cara dia menyokong anda dalam masa sukar atau menunjukkan kasih sayang dalam rutin harian.
Apabila rasa cemburu mula timbul, baca semula nota itu sebagai peringatan bahawa anda berada dalam hubungan yang sihat dan penuh kasih sayang.
Ciptakan lebih banyak kenangan positif bersama-sama sama ada dengan cara menonton filem kegemaran, merancang percutian atau menikmati makan malam berdua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram