
JIKA sebelum ini wajahnya menghiasi kaca televisyen, kini nama Ben Amir mula dikenali di sebuah pulau kecil Filipina, bukan sebagai pelakon, tetapi pemilik kedai makan Rasa Siargao.
Selepas hampir dua dekad meniti karier seni di tanah air, pelakon lelaki tersebut mengambil langkah berani keluar dari zon selesa membuka lembaran baharu di Pulau Siargao, Filipina.
Di situ, beliau memulakan premis masakan Malaysia pertama di pulau berkenaan sehingga menarik perhatian penduduk tempatan.
BACA LAGI: Nak beli rumah pertama? Ketahui 10 tip ini untuk elak tersilap langkah dan menyesal kemudian hari
Walaupun baharu beroperasi, kedai makan Ben sudah menerima sambutan luar biasa.
Ramai penduduk tempatan sanggup menunggu di depan kedai, malah tidak kurang yang menghantar mesej di Instagram untuk bertanya waktu beroperasi.
“Memang terkejut, beberapa minggu waktu awal dibuka, ramai orang datang. Ada yang DM bagitahu sudah berada di kedai pada pukul 10 pagi sedangkan buka pukul 4 petang.
"Sambutan bukan dari orang Malaysia, tetapi dari orang Filipina. Mereka teruja nak cuba masakan Malaysia sebab nak rasa kelainan,” katanya kepada Majoriti.
Ben menegaskan hijrahnya ke Filipina bukanlah kerana putus cinta atau healing, sebaliknya satu usaha untuk memperkasa diri dari segi mental, fizikal dan kerjaya lakonan.
“Saya tak berhenti berlakon. Kalau ada tawaran filem yang menarik, saya akan kembali ke Malaysia untuk penggambaran, mungkin dalam dua bulan.
"Tetapi kalau untuk televisyen saya tak ambil kerana durasi penggambarannya setiap hari,” jelasnya.
Kedai makan Rasa Siargao milik Ben di pulau kecil Filipina menawarkan sajian masakan Malaysia sehingga menarik perhatian masyarakat tempatan. — Gambar/@rasa.siargao
Rasa Siargao bermula dengan menu masak lemak ikan yang mendapat pujian daripada penduduk tempatan.
Secara berperingkat, Ben merancang untuk menambah menu lain seperti ayam masak merah untuk melengkapkan pilihan pelanggan.
Selain industri makanan dan minuman (F&B), beliau juga berhasrat menembusi industri kreatif di Filipina.
Walaupun menghadapi cabaran bahasa dan budaya, beliau melihatnya sebagai peluang yang sangat berharga.
“Kami sudah bertemu beberapa produksi di sini. Saya perlu belajar bahasa Tagalog supaya boleh terlibat lebih dalam industri mereka. Ini satu cabaran yang saya sangat suka,” katanya.
Ben turut berkongsi bahawa kini lebih selesa dengan kehidupan di pulau berbanding di bandar yang sibuk.
“Saya memang suka suasana pulau. Di sini, saya rasa lebih tenang, lebih bebas dan boleh fokus jadi diri sendiri,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram