
MEMBELI rumah pertama bukan sekadar tentang mencari kediaman yang cantik tetapi melibatkan komitmen kewangan jangka panjang yang memerlukan perancangan rapi dan ilmu yang mencukupi.
Itulah penegasan diberikan Info Hartanah menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Menerusi perkongsian itu, beliau menyenaraikan panduan penting yang harus diambil kira oleh setiap pembeli rumah pertama agar tidak terbeban di kemudian hari.
“Kalau tersalah langkah, bukan saja duit melayang, tapi boleh pening kepala bertahun-tahun,” tulisnya.
Berikut adalah 10 tip utama yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan membeli rumah:
1. Tetapkan bajet realistik
Pastikan ansuran bulanan tidak melebihi 30 peratus daripada pendapatan bersih.
Ambil kira juga komitmen bulanan lain seperti pinjaman sedia ada dan perbelanjaan isi rumah.
2. Semak kelayakan pinjaman seawal mungkin
Seseorang boleh menyemak kelayakan pinjaman dengan menggunakan kalkulator pinjaman atau rujuk terus ke bank.
Mengetahui had pinjaman memudahkan anda fokus pada rumah dalam lingkungan bajet.
3. Utamakan lokasi strategik
Pilih lokasi yang dekat dengan tempat kerja, sekolah dan pengangkutan awam.
Lokasi yang baik bukan sahaja praktikal, malah meningkatkan nilai hartanah dari semasa ke semasa.
4. Sediakan wang pendahuluan dan dana tambahan
Selain deposit 10 peratus, pembeli perlu bersedia dengan kos guaman, duti setem dan insurans.
Simpan secukupnya agar diri anda tidak berasa tertekan di saat akhir.
5. Fahami kos tersembunyi
Kos seperti penilaian hartanah, deposit utiliti, cukai dan yuran penyelenggaraan (bagi hartanah strata) sering diabaikan.
Masukkan semua itu perlu dimasukkan dalam bajet anda untuk memudahkan mengesan bajet yang diperlukan.
6. Pilih jenis pinjaman yang sesuai
Kenali perbezaan antara pinjaman kadar tetap dan pinjaman fleksibel.
Setiap satu mempunyai kelebihan tersendiri bergantung kepada strategi kewangan anda.
7. Guna khidmat ejen hartanah berdaftar
Ejen hartanah yang sah dan berpengalaman boleh membantu mempercepatkan proses, menjimatkan masa dan mengelakkan kesilapan dokumen atau undang-undang.
8. Semak kemudahan sekitar kawasan rumah
Pastikan kawasan perumahan mempunyai kemudahan asas seperti pasar raya, klinik, sekolah dan akses jalan yang baik untuk keselesaan jangka panjang.
9. Pilih pemaju yang mempunyai rekod baik
Jika membeli rumah baharu, semak latar belakang dan reputasi pemaju. Elakkan pemaju yang mempunyai rekod lewat siap atau projek tergendala.
10. Manfaatkan skim bantuan kerajaan
Kerajaan menawarkan pelbagai skim bantuan untuk pembeli rumah pertama seperti My First Home Scheme, PR1MA dan Skim Rumah Selangorku.
Skim itu membantu mengurangkan beban deposit, memudahkan kelulusan pinjaman dan menawarkan harga rumah di bawah pasaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram