Pilihan 'reinvented' klasik hingga moden, 6 beg tangan jadi aksesori sempurnakan gaya wanita


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Peekaboo Soft Small mengekalkan ciri-ciri asal daripada saiz, struktur yang lembut, reka bentuk ringan dan material kulit lembu yang menawan.

WALAUPUN Malaysia tidak mengalami perubahan musim seperti negara-negara Barat, namun dunia fesyen antarabangsa terus menjadi penanda aras kepada trend semasa khususnya dalam pilihan aksesori mewah.

Musim Bunga/Panas 2025 menyaksikan pelancaran pelbagai koleksi beg tangan eksklusif oleh jenama-jenama terkemuka dunia yang sesuai bukan sahaja untuk gaya harian moden, malah untuk penampilan khas ketika hari istimewa.

Antara koleksi yang mencuri tumpuan ialah Dior Caro Bucket yang menampilkan kemasan kulit mewah dalam rona emas lembut. 

BACA LAGI: Bukan setakat 'handmade card', si kecil kongsi cara tersendiri hargai insan tersayang sempena Hari Ibu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan tinggal solat, hormati masa orang' antara pesanan ibu jadi panduan hidup

Dihiasi dengan rumbai rafia berbentuk bunga mekar, beg tangan Dolce Box merupakan sebuah aksesori yang penuh pesona.

Keunikan beg itu terletak pada rekaan macrocannage yang ikonik serta perincian emas halus termasuk huruf 'CD' pada tali dan poket hadapan. 

Ia turut hadir dalam pilihan warna lain seperti merah jambu lembut, hitam klasik, latte Dior dan versi rafia asli yang menjadikannya pilihan ideal untuk gaya feminin dan elegan.

Valentino Garavani Vain pula tampil dengan variasi baharu termasuk clutch serbaguna yang dilengkapi dua tali iaitu satu daripada kulit boleh laras dan satu lagi rantai pendek.

Koleksi itu mengetengahkan kemahiran pertukangan halus melalui pilihan kulit eksotik dan sulaman eksklusif sehingga menjadikannya pilihan sempurna untuk majlis-majlis malam atau acara formal.

Loewe pula memperkenalkan The Madrid, beg baharu dengan potongan trapezoid yang diinspirasikan oleh bandar kelahiran jenama itu. 

Diperbuat daripada kulit licin yang mewah, beg itu menyerlah dengan lipatan sisi dramatik dan tali bahu beralas lembut. 

Penutup magnetik bergaya dan zip asimetri menambahkan unsur kontemporari dan sofistikated.

Bagi mereka yang menggemari tekstur semula jadi dan elemen kraf tangan, Dolce & Gabbana menghadirkan koleksi Raffia termasuk beg Dolce Box dengan hiasan permata dan pintalan rafia berbentuk bunga.

Ia membawa sentuhan tropikal yang mewah dan sesuai untuk dipadankan dengan busana bercuti di pantai mahupun gaya raya bertemakan alam semula jadi.

Tidak ketinggalan, Fendi Peekaboo Soft Small terus mempertahankan rekaan ikoniknya dengan struktur lembut dan ringan. 

Ia kini hadir dengan fungsi pemakaian silang badan (crossbody) melalui tambahan tali boleh laras yang menawarkan gaya dan keselesaan dalam satu.

Koleksi beg tangan itu bukan sekadar simbol status, malah menjadi pelengkap gaya yang praktikal dan versatil untuk wanita moden di Malaysia. 

Sama ada untuk sambutan perayaan, percutian ke destinasi tropika atau sekadar menambah glamor pada gaya harian, pilihan beg tersebut sebagai aksesori pasti menjanjikan penampilan yang anggun dan eksklusif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram