
DI sebalik helaian kain terpakai dan sisa fabrik, lahir sebuah koleksi fesyen yang bukan sekadar cantik dipandang, tetapi juga penuh dengan nilai kesedaran berkaitan alam sekitar.
Itulah karya terbaharu pensyarah fesyen dan pengasas Erin Zamree Atelier, Wan Norazreen Wan Mohd Zamree atau lebih dikenali sebagai Erin Zamree.
Berinspirasikan warisan dan seni bina ikonik sekitar Kuala Lumpur seperti pintu gerbang di Kampung Baru, Jambatan Saloma dan Kelab Sultan Sulaiman, koleksi 'Kampung Baru' memberi nafas baharu kepada sisa tekstil yang direka semula menjadi pakaian.
"Kampung Baru memang ada tempat istimewa dalam hati saya sebab saya selalu pergi ke situ ketika saya di bangku sekolah menengah.
"Tetapi bukanlah Kampung Baru semata-mata, saya tengok juga lokasi lain seperti Jambatan Saloma dan Kelab Sultan Sulaiman," katanya kepada Majoriti selepas memperkenalkan koleksinya pada malam pelancaran Anugerah Kreativiti Fesyen 2023 di ibu negara baru-baru ini.
Lebih menarik, corak dan perincian dalam koleksi tersebut dihasilkan sendiri oleh beliau secara manual yang juga dianggap sebagai cabaran.
"Banyak cabarannya sebab saya ukir dan lukis semua sendiri dengan tangan. Tetapi saya menikmati prosesnya memandangkan ini kali pertama saya lakukan," kata wanita berusia 37 tahun itu.
Tambah pensyarah yang mengajar di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur itu, proses untuk menghasilkan koleksi yang terdiri daripada enam rekaan tersebut memakan masa selama hampir setahun, bermula daripada peringkat konsep sehingga ke penghasilan.
"Setahun kami rancang bermula daripada konsepnya. Proses penghasilan pula bermula pada November tahun lalu, jadi ia tidaklah terlalu lama," jelasnya.
Beliau turut mengakui, sokongan suami dan pembantunya menjadi tulang belakang utama dalam melalui cabaran sepanjang proses tersebut.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa golongan anak muda atau Gen Z mempunyai kesedaran lebih tinggi berkaitan konsep fesyen lestari.
“Gen Z sebenarnya lebih sedar mengenai fesyen lestari berbanding generasi sebelumnya. Lebih mengejutkan, mereka juga banyak memberi sokongan.
"Merekalah sebenarnya golongan yang menghidupkan lagi dunia fesyen lestari,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap lebih ramai masyarakat lebih menyedari tentang kepentingan fesyen lestari.
"Tidak ramai yang mendalami dan menghargai seni fesyen lestari ini. Saya berharap dengan adanya acara pertunjukan fesyen yang mengetengahkan tentang kelestarian alam, lebih ramai lagi masyarakat mampu membuka mata.
"Jika lihat di luar negara pun, mereka sudah menerapkan nilai kelestarian dalam penampilan harian mereka," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram