
INDUSTRI fesyen global bernilai RM7.5 trilion menjadi antara penyumbang besar pencemaran, menyumbang sekitar 8 peratus sehingga 10 peratus pelepasan gas rumah hijau secara tahunan.
Jumlah itu menjadikan ia lebih tinggi berbanding gabungan sektor penerbangan dan perkapalan.
Pembuatan pakaian menggunakan banyak tenaga, air dan gentian berasaskan bahan api fosil seperti poliester.
Tambahan pula, budaya fesyen segera atau fast fashion menyebabkan banyak pakaian dibuang tidak lama selepas dibeli, sekali gus meningkatkan jumlah sisa tekstil.
Peter Majeranowski. — Agensi
Kini, beberapa syarikat baharu berusaha mengubah keadaan.
Dua syarikat permulaan (startup) yang fokus kepada penyelesaian tekstil melibatkan Circ dari Danville, Virginia, Amerika Syarikat dan EverDye dari Paris diiktiraf sebagai pemenang anugerah BloombergNEF Pioneers tahun ini.
Circ berjaya mengubah fabrik bercampur kembali kepada bahan mentah yang boleh digunakan semula, manakala EverDye membangunkan kaedah pencelupan fabrik yang lebih mesra alam.
Kebanyakan fabrik hari ini diperbuat daripada campuran kapas dan poliester kerana ia lebih tahan lama berbanding kapas tulen.
Namun, apabila dua jenis gentian berkenaan dicampurkan, ia menjadi sangat sukar untuk dipisahkan dan dikitar semula.
"Memisahkan gentian ini secara mekanikal memang susah. Mesin tidak dapat membezakan antara kedua-duanya," kata Profesor Sains Tekstil di Universiti Negeri Carolina Utara, Sonja Salmon.
Disebabkan itu, Circ menggunakan kaedah kimia. Teknologi mereka menggunakan air dan tekanan untuk memecahkan molekul besar poliester (polimer) kepada bahagian kecil (monomer), kata Presiden Circ, Peter Majeranowski.
Ini memudahkan proses memisahkan kapas dan poliester. Kedua-dua bahan berkenaan kemudian dibersihkan dan boleh digunakan semula dalam pembuatan tekstil.
Kebanyakan fabrik hari ini diperbuat daripada campuran kapas dan poliester kerana ia lebih tahan lama berbanding kapas tulen. — Gambar hiasan
Peter berkata, syarikatnya menghabiskan masa bertahun-tahun memperhalusi proses itu supaya bahan kitar semula mempunyai kesan karbon yang lebih rendah berbanding bahan baharu.
Selain pelaburan daripada syarikat modal teroka dan rantaian bekalan, Circ turut menerima pelaburan daripada syarikat terkenal seperti Patagonia, Inditex (syarikat induk Zara) dan platform fesyen Eropah, Zalando SE.
Circ berharap jenama-jenama fesyen akan menandatangani kontrak untuk beberapa tahun bagi menggunakan bahan kitar semula mereka.
"Bagaimanapun, menghasilkan komitmen jangka panjang bukan sesuatu yang biasa dalam industri ini," kata Peter.
Sementara itu, proses pencelupan fabrik juga menggunakan banyak tenaga kerana pigmen warna biasanya perlu dipanaskan pada suhu yang sangat tinggi supaya warna melekat.
Menurut EverDye, mereka berjaya membangunkan kaedah mencelup menggunakan air suhu bilik.
"Pigmen mineral untuk tekstil biasanya bercas negatif, sama seperti fabrik, menyebabkan ia sukar untuk melekat tanpa bantuan bahan tambahan dan haba tinggi," jelas saintis penyelidikannya, Christelle Chauffeton.
EverDye mengubah pigmen mineral supaya ia melekat kepada zarah biopolimer yang diubah suai secara kimia supaya bercas positif. Ini membolehkan pigmen melekat pada fabrik tanpa perlu haba tinggi atau bahan tambahan.
Menurut Christelle, pigmen mineral untuk tekstil bercas negatif seperti fabrik, jadi ia sukar melekat tanpa bahan tambahan dan haba tinggi. — Agensi
Selepas itu, sedikit haba akan digunakan untuk menggabungkan zarah-zarah kecil dan membentuk lapisan filem yang memerangkap pigmen pada permukaan kain.
Buat masa ini, EverDye mampu mencelup fabrik dengan warna coklat, oren dan kuning dan sedang mengembangkan teknik untuk menghasilkan warna biru, merah dan hitam, demikian menurut Ketua Operasinya, Victor Durand.
Oktober lalu, mereka melancarkan koleksi kapsul kecil dan kini menjalankan ujian bersama jenama seperti Lacoste dan Petit Bateau.
Circ dan EverDye adalah antara banyak syarikat yang kini berusaha menghasilkan tekstil yang lebih mesra alam.
Antaranya termasuk Galy dari Boston yang menanam kapas dalam makmal untuk mengurangkan penggunaan air dan baja.
Walaupun penggunaan pakaian terpakai adalah salah satu cara terbaik mengurangkan kesan ini, permintaan terhadap pakaian baharu dijangka terus berlanjutan.
Inovasi syarikat-syarikat seperti Circ dan EverDye menjadi langkah kecil ke arah membersihkan industri fesyen. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram