Berhenti kerja lepas kahwin? Ketahui apa perlu wanita fikirkan sebelum ambil keputusan jadi suri rumah


  • Relaks
  • Isnin, 12 Mei 2025

Rata-rata wanita tidak ada masalah untuk menjadi suri rumah jika suami bersedia memenuhi keperluan sebaik mungkin.

DALAM perkahwinan, cinta bukan sekadar tentang kata-kata manis dan janji setia tetapi juga mengenai pengorbanan termasuklah keputusan besar yang boleh mengubah hala tuju hidup seseorang. 

Antara dilema paling besar yang sering dihadapi wanita selepas berkahwin adalah persoalan mengenai keperluan mereka berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa demi keluarga tercinta.

Persoalan itu kembali hangat diperkatakan di media sosial apabila seorang pengguna laman Threads, Alia Rhmn melontarkan soalan terbuka berbunyi:

'Kalau suami awak suruh berhenti kerja, awak berhenti tak? Jadi suri rumah sepenuh masa, jaga anak-anak nanti. Walaupun dia cakap dia boleh support awak 100 peratus.'

BACA LAGI: [VIDEO] Elak anak tantrum berjam-jam lamanya di tempat awam, ini persediaan penting buat ibu bapa ketika perjalanan jauh

BACA LAGI: Dahlia Rizal 'salute' ibu bersalin czer, dedah hampir hilang nyawa demi lahirkan anak sulung, sempat titip kata semangat buat pejuang TTC

Segelintir wanita tetap mahu bekerja untuk memenuhi kehendak dan gaya hidup tersendiri. — Gambar Hiasan

Soalan yang kelihatan ringkas itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya, khususnya golongan wanita yang berkongsi pandangan masing-masing apabila diminta melepaskan kerjaya demi menjadi suri rumah sepenuh masa.

Antara yang memberi respons, Anisamirasidan yang mengambil pendekatan dengan penuh berhati-hati. 

Katanya, dia akan memberi tempoh percubaan selama enam bulan sebelum benar-benar berhenti kerja.

"Sebelum saya berhenti, saya minta dia tanggung semua. Kalau lulus, okay saya berhenti kerja.

"Tetapi saya tetap akan buat kerja sambilan seperti ajar tuisyen secara atas talian. Perempuan kena bijak, taat perintah ALLAH dan suami tetapi juga sediakan payung sebelum hujan," jelasnya.

Ramai wanita dilema sama ada perlu menjadi suri rumah atau bekerja. — Gambar Hiasan

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Imannurdian yang menekankan kepentingan kebebasan mental dan pembangunan diri.

"Tak semudah yang kita sangkakan untuk tukar dari seorang yang rajin bekerja menjadi suri rumah sepenuh masa.

"Saya perlukan masa untuk me time dan juga hobi. Kita kena ada aktiviti yang kita kawal sendiri. Jaga anak bukan kerja mudah, perlukan tenaga dan kesihatan mental yang baik," katanya.

Sementara itu, pengguna lain, Syazamarya menegaskan bahawa keputusan tersebut bergantung kepada keyakinan terhadap kemampuan suami.

“Kalau yakin dia boleh support sepenuhnya, okay saja. Tapi kalau ragu-ragu, lebih baik teruskan kerja dan rancang dahulu,” katanya.

Ada juga yang menasihatkan supaya wanita bijak merancang sebelum membuat keputusan besar seperti Rara, yang menyarankan agar wanita melangsaikan hutang dan membuat simpanan secukupnya terlebih dahulu.

“Pulun untuk simpan duit dulu, beli barang yang disukai. Jangan ada hutang. Support keperluan tak sama dengan support kehendak kita. Cuba cuti tanpa gaji setahun, baru buat keputusan,” katanya.

Pengguna lain, Ldelsurr pula menyentuh soal keadilan dalam permintaan tersebut.

“Kalau nak suruh isteri berhenti kerja, pastikan sebagai suami mampu sediakan lifestyle yang sama atau lebih baik dari semasa isteri bekerja. Jangan sekadar cukup makan pakai saja," katanya.

Wanita lain, Qinzulkifliii juga senada, dengan mengingatkan bahawa kewangan adalah faktor penting dalam membuat keputusan itu.

"Kalau suami gaji tinggi dan boleh tunaikan semua permintaan, tak salah berhenti. Tapi kalau tidak, kerja saja. Sekurang-kurangnya tak stres bila nak beli apa-apa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram