
MASALAH selesema dalam kalangan bayi sering menjadi mimpi ngeri buat rata-rata ibu bapa.
Apabila si kecil mula berasa tidak selesa, tidur malam terganggu dan hidung tidak henti berhingus, ramai yang mula buntu mencari jalan penyelesaian.
Namun, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai PlanBAE mencuri tumpuan ramai apabila berkongsi tujuh petua semula jadi yang mudah diamalkan di rumah bagi meredakan gejala selesema bayi.
Tanpa bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan moden, petua yang menggunakan bahan semula jadi seperti lemon, bawang putih dan kunyit itu diyakini selamat serta berkesan untuk melegakan ketidakselesaan bayi.
Mandian lemon mampu meredakan gejala selesema pada bayi. — Gambar hiasan
Antara petua yang dikongsikan adalah seperti berikut:
1. Mandian Lemon
Lemon yang dihiris nipis perlulah dicampurkan ke dalam air mandian suam.
Ibu bapa juga boleh memerah lemon dan memasukkan hampasnya ke dalam air.
Seseorang disarankan memulakan mandian dari kaki, diikuti tubuh dan akhirnya kepala bagi mengelakkan bayi berasa terkejut dengan suhu air berkenaan.
2. Ramuan Daun Kaduk dan Kapur
Daun kaduk perlu diramas bersama kapur dan sedikit air hingga lumat, kemudian dilumurkan secara nipis pada bahagian dada, leher dan belakang bayi.
Penggunaan secara berlebihan adalah tidak digalakkan kerana kapur boleh menyebabkan rasa panas pada kulit.
3. Kunyit Hidup
Kunyit yang ditumbuk separa lumat perlulah dicampurkan dengan minyak kelapa atau zaitun.
Campuran itu kemudian disapu pada batang hidung dan dada bayi beberapa kali sehari bagi mengurangkan batuk dan hingus.
4. Bawang Putih Bakar
Empat hingga lima ulas bawang putih perlulah dibakar, dilenyek dan dicampur dengan minyak zaitun.
Ia kemudian disapu pada hidung, dada dan tapak kaki bayi untuk membantu mengurangkan kahak.
Bayi boleh minum air kelapa muda dalam kuantiti kecil. — Gambar hiasan
5. Air Kelapa Muda
Bagi bayi berusia lapan bulan ke atas, air kelapa muda tanpa isi boleh diberikan dalam kuantiti kecil.
Air kelapa dipercayai membantu mengeluarkan kahak melalui najis serta berkesan untuk melegakan masalah sembelit dan muntah.
6. Susu Ibu
Penyusuan secara kerap sangat digalakkan kerana susu ibu mengandungi antibodi semula jadi yang membantu menguatkan sistem imun bayi dan mempercepatkan proses penyembuhan.
7. Teknik Tepukan atau 'Percussion'
Dengan membentuk tangan seperti ‘cup’ atau cawan, ibu bapa boleh menepuk perlahan di bahagian dada dan belakang bayi.
Teknik itu dipercayai membantu melonggarkan kahak serta memudahkan pernafasan bayi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram