Bekas suami maki dan fitnah di media sosial? Ini tindakan undang-undang boleh diambil yang ramai wanita tidak tahu


  • Relaks
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Masih ramai golongan wanita menghadapi gangguan daripada bekas suami.  — Gambar Hiasan

MESKIPUN sudah berpisah dan membina kehidupan baharu, masih ramai golongan wanita menghadapi gangguan daripada bekas suami termasuk hinaan, cacian serta pembukaan aib secara terbuka di media sosial. 

Gangguan seumpama itu bukan sahaja menjatuhkan maruah, bahkan boleh memberi kesan psikologi dan sosial yang serius kepada mangsa.

Penghinaan secara berterusan, walaupun selepas penceraian tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

BACA LAGI:  [VIDEO] 'Sejuk perut ibu mengandung', warganet puji anak kecil bijak berselawat, sifat ibu bapa lain wajar contohi

BACA LAGI:  Ibu dihalang jumpa anak walau ada perintah mahkamah, pihak ingkar boleh dikenakan hukuman penjara — Peguam Syarie

Amirul Akmal merupakan pengamal undang-undang syariah di Firma Tetuan Amirul Akmal & Associates.

Adalah penting bagi golongan wanita untuk mengetahui hak yang boleh diambil dari sisi undang-undang. 

Mengulas lebih lanjut, Peguam Syarie Negeri Selangor merangkap Panel Hakam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Muhammad Amirul Akmal Ismail menjelaskan bahawa wanita yang menjadi mangsa kepada perbuatan memalukan atau memfitnah oleh bekas suami mempunyai hak undang-undang untuk mempertahankan diri.

"Ini termasuk apabila seorang wanita sudah berkahwin semula tetapi masih terus dihina atau difitnah oleh bekas suami melalui media sosial.

"Dalam hal ini, wanita tersebut boleh membuat laporan polis," katanya kepada Majoriti .

Amirul berkata, amat penting untuk menyimpan segala bukti seperti tangkapan layar ( screenshot ) kenyataan fitnah atau mesej berunsur gangguan. 

"Bukti-bukti itu boleh digunakan untuk membuat laporan," katanya. 

Amirul berkata, terdapat dua saluran undang-undang yang boleh digunakan oleh wanita bagi mengambil tindakan terhadap perbuatan tersebut iaitu:

Tindakan menyebarkan aib di media sosial hanya undang malu buat si isteri. — Gambar Hiasan

1. Tindakan Sivil di Bawah Akta Fitnah 1957

Wanita tersebut boleh memfailkan saman sivil terhadap bekas suami berdasarkan Akta Fitnah 1957. 

Ini membolehkan mangsa menuntut ganti rugi sekiranya posting atau kenyataan yang disebarkan di media sosial memberi kesan buruk terhadap imej atau reputasinya.

"Mahkamah akan menilai sejauh mana kenyataan tersebut menjejaskan imej mangsa dan jika terbukti, wanita itu berhak mendapat pampasan atau ganti rugi," jelasnya.

2. Tindakan Jenayah di Bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan

Sekiranya fitnah tersebut dilakukan dengan niat jahat, bekas isteri juga boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan. 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Namun, menurut Muhammad Amirul, tindakan jenayah memerlukan siasatan pihak pendakwaan dan hanya akan dibawa ke mahkamah jika terdapat bukti kukuh.

"Jika pendakwa raya berpendapat kes itu cukup kuat, maka kes boleh dibawa ke mahkamah dan bekas suami berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda," tambah beliau.   Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  TwitterFacebook ,  InstagramWhatsApp Channel  dan  Telegram