
SEORANG anak hanya mampu melihat ibunya yang berusia 85 tahun bertarung nyawa melawan penyakit Covid-19 di ruang tamu rumah kecil mereka kerana warga emas itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Wanita terbabit, Wong How Lan terlalu lemah untuk bangun sendiri, apatah lagi makan atau minum tanpa bantuan sejak beberapa hari lalu.
Degupan jantungnya yang dahulunya normal kini turun kepada sekitar 40 denyutan seminit.
Anaknya, Maggie Yong, 54, berkata, ibunya tidak boleh dibawa ke hospital kerajaan, malah hospital swasta pula menolak kemasukan kerana memiliki status sebagai pesakit Covid-19.
“Setiap hari saya duduk di sebelahnya, pegang tangan dia, suap air seteguk demi seteguk,” katanya.
Yong yang juga merupakan seorang guru tuisyen turut dijangkiti Covid-19 minggu lepas, namun tetap menjaga ibunya sendirian.
Menurut Yong, ibunya dijangkiti virus itu sejak Selasa lepas dan semenjak itu kesihatannya merosot dengan cepat walaupun diberi ubat demam dan batuk.
Namun, apa yang lebih menyedihkan, mereka tidak dapat mendapatkan rawatan di hospital.
Kata Yong, ibunya dilahirkan di Kepulauan Riau, Indonesia sebelum berhijrah ke Singapura ketika remaja untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Di sana, dia bertemu jodoh dengan seorang lelaki Johor dan akhirnya menetap di Malaysia bersama lima orang anak mereka yang semuanya warganegara Malaysia.
Suatu ketika dahulu, How Lan memiliki kad pengenalan merah sebagai pemastautin tetap, namun, segalanya berubah 40 tahun lalu.
“Waktu itu, ibu saya mengandung anak bongsu dan ingin ke Singapura. Di sempadan Malaysia, seorang pegawai imigresen menahan sebelum mengambil kad merahnya.
"Dia juga diminta menandatangani satu dokumen yang langsung dia tidak faham. Dalam keadaan takut, ibu menurut saja,” dakwa Yong.
Sejak kejadian itu, status ibunya tergantung iaitu tidak memiliki kad pengenalan dan tidak memiliki pasport.
"Tiada negara yang mengakuinya. Dan kini, tiada hospital yang mahu merawatnya," kata Yong.
Namun apa yang lebih ironi, nombor kad merah lama ibunya itu boleh digunakan untuk mendaftar vaksin dan dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera semasa pandemik dahulu.
“Waktu kerajaan perlukan rakyat tampil ambil vaksin, mak saya diterima. Tapi sekarang, masa dia tenat dan perlukan bantuan, dia terus dilupakan,” kata Yong.
Pihak keluarga sudah beberapa kali mengutus surat ke pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri, namun semuanya terasa sia-sia apabila tiada maklum balas atau jalan penyelesaian yang diperoleh.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon ketika dihubungi mengesahkan bahawa pengenalan diri rasmi memang diwajibkan untuk kemasukan ke hospital kerajaan.
“Warganegara Malaysia perlu ada MyKad. Bagi warga asing atau mereka yang lahir di luar negara, mereka perlukan pasport atau kad merah. Tetapi untuk bukan warganegara, mereka juga tidak layak dapat subsidi perubatan,” katanya. — The Star/ YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram