Apabila anak bilionair bersiap ke gala, kalung berlian dianggarkan bernilai RM645 juta digayakan bersahaja


  • Relaks
  • Ahad, 11 Mei 2025

Rantai yang dipakai Isha pada malam MET Gala dikatakan persis rekaan Cartier dalam filem Ocean's 8. — Agensi

JUTAWAN dari India, Isha Ambani, mencuri tumpuan di Met Gala 2025 apabila memakai rantai berlian yang mewah dan dikhabarkan diambil dari peti simpanan barang berharga keluarga.

Isha, 33, ialah anak kepada jutawan Mukesh dan Nita Ambani dan turut dikenali sebagai adik kepada Anant Ambani yang perkahwinannya tahun lalu menjadi tular kerana kemewahan 'melampau'.

Dalam satu video yang dikongsikan di Instagram oleh pencinta barang kemas dan pencipta kandungan, Julia Chafe, Isha mendedahkan bahawa sebahagian besar perhiasan yang dipakainya pada malam itu adalah milik ibunya, Nita, kecuali cincin-cincin besar dari Tiffany & Co.

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan jerit dan teran sambil senyum antara tip bersalin tanpa koyakan

BACA LAGI: Rekaan 'shawl' di Malaysia jadi inspirasi, pereka fesyen Jepun perkenal kimono hijab di Tokyo

 

 

Antara aksesori yang mencuri perhatian adalah rantai dua lapis dengan susunan berlian potongan empat segi serta berlian bulat.

Isha bagaimanapun tidak mendedahkan nama pereka atau jenama rantai itu, tetapi warganet dengan pantas menyedari bahawa ia seakan-akan menyerupai rantai Cartier yang dipakai dalam filem Ocean’s 8 oleh watak Daphne Kluger yang dimainkan oleh Anne Hathaway.

Namun, selepas diteliti, terdapat perbezaan dari segi saiz dan bilangan berlian pada kedua-dua rantai tersebut.

Sebenarnya, rantai milik Isha direka oleh Jacques Cartier, yang pertama kali mencipta rantai itu untuk Maharaja Nawanagar pada tahun 1931.

Keluarga diraja menyimpan rantai tersebut sehingga tahun 1960, kerana mereka terkenal dengan koleksi barang kemas yang unik.

Cartier kemudiannya memperoleh semula rantai itu, dan selepas beberapa kali bertukar tangan, berlian utama pada rantai tersebut telah dipotong semula.

Rantai asal dihiasi batu permata 136.25 karat yang dikenali sebagai Queen of Holland, berlian hijau 12 karat serta berlian putih dan merah jambu.

Menurut laporan daripada Screen, rantai tersebut tidak lagi dalam bentuk asal dan saiznya telah dikecilkan sebanyak 20 peratus.

Berdasarkan laporan Vogue pula, nilai rantai yang direka oleh Cartier itu dianggarkan sekitar USD150 juta atau kira-kira RM645 juta. Barang kemas mewah itu kini dimiliki oleh ibu Isha, Nita Ambani.

Selain rantainya, pakaian Isha juga menjadi bualan ramai.

Beliau memilih pereka tersohor India, Anamika Khanna yang mencipta busana khas bertemakan Superfine: Tailoring Black Style dan kod pakaian Tailored for You.

Pakaian itu terdiri daripada seluar panjang, blaus bersulam dan jaket labuh berperincian halus yang mengambil masa 15,000 jam untuk disiapkan.

Sentuhan istimewa turut diberikan melalui aksesori seperti mutiara, tassel dan elemen burung yang unik.

Untuk rekod, Isha beliau juga pernah menghadiri Met Gala pada tahun 2017, 2019 dan 2023. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram