
TANDAS sering kali menjadi antara ruang pertama yang dinilai oleh tetamu apabila mereka bertandang ke rumah.
Walaupun kecil, tandas memainkan peranan besar dalam mencerminkan kebersihan, gaya dan keperibadian pemilik rumah.
Sebab itu, tidak hairanlah ramai yang kini memberi perhatian lebih terhadap penampilan dan fungsi ruang tersebut.
BACA LAGI: Pereka kertas dinding 'berkarya' pada dinding istana era 1830-an, ruang lama kembali 'hidup'
BACA LAGI: Perjalanan cinta lepas ijab kabul, pakar 'parenting' kongsi 7 rahsia jaga keharmonian rumah tangga
Siapa sangka sebuah tandas kecil di sebuah rumah berusia 10 tahun dan pernah dihantui masalah kebocoran serta lantai epoxy menggelupas kini berubah wajah menjadi ruang mandi moden serta elegan.
Perkongsian Elli Ibrahim di media sosial baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila dia menunjukkan transformasi tandas yang ringkas tetapi penuh gaya dengan kos keseluruhan hanya menelan belanja RM6,000.
Sebelum ini, tandas tersebut menunjukkan tanda-tanda sudah lama dengan kesan air, lantai yang tidak rata, dinding kusam menjadikan ruang itu kelihatan suram dan kurang selesa.
Tandas di rumah Elli sebelum direnovasi. — Elli Ibrahim
Elli mengakui pernah mencuba kaedah sementara dengan menggunakan epoxy, tetapi hasilnya tidak tahan lama dan akhirnya membuatkan dia semakin tertekan melihat keadaan tandas yang semakin buruk.
Namun, semuanya berubah apabila Elli bertemu dengan seorang kontraktor yang menawarkan ubah usai dengan harga sangat berpatutan.
Walaupun ruangnya kecil dan bajet agak terhad, itu tidak menjadi penghalang untuk menghasilkan satu rekaan ubah suai yang menawan.
Hasil akhir renovasi menunjukkan penggunaan jubin terrazzo melengkapi segenap ruang dinding hingga aras siling.
Pemilihan peralatan seperti pancuran bidet dan mandian berwarna kuning keemasan menaikkan lagi aura elegan serta susun atur yang lebih kemas dan terancang.
Tandas di rumah Elli selepas direnovasi. — Elli Ibrahim
Lampu hiasan bergaya vintaj dengan cahaya kuning lembut juga menambah elemen elegan ke ruang tersebut.
Malah, sinki dan kabinet gantung putih memberi ilusi ruang yang lebih bersih.
Apa yang lebih menarik, walaupun keseluruhan projek itu dilakukan dengan bajet hanya RM6,000, hasilnya kelihatan seperti renovasi bertaraf premium dan seolah-olah berada di kediaman mewah.
Ia membuktikan bahawa dengan perancangan rapi serta pemilihan kontraktor yang bijak, impian memiliki tandas cantik dan selesa bukan lagi mustahil walaupun dengan bajet sederhana.
Renovasi itu bukan sekadar perubahan penampilan, tetapi juga mencerminkan bagaimana ruang kecil boleh dimaksimumkan dengan cita rasa dan kreativiti.
Ternyata, tandas kecil Elli kini bukan sahaja lebih praktikal malah menjadi ruang yang menyenangkan untuk anak-anaknya gunakan setiap hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram