'Kalau hanya mahu bahagia, jangan kahwin,' pengantin baru dapat nasihat Dr Zulkifli, alam rumah tangga titik mula sabar, syukur dan doa


  • Relaks
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Akram berkongsi pesanan yang diberikan oleh Dr Zulkifli (kiri) sewaktu hari pernikahannya baru-baru ini.

'KALAU kamu hanya nak bahagia, jangan kahwin.'

Begitulah bait pesanan menyentuh hati daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri yang dikongsi oleh seorang lelaki, Akram Zulkifli sewaktu hari pernikahannya baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman TikTok, Akram memuat naik sekeping gambar beliau bersama Dr Zulkifli yang hadir ke majlis perkahwinannya. 

BACA LAGI:  Jimat masa dan banyak manfaat kesihatan, Farah Lee contohi amalan sihat orang Jepun makan nasi beku

BACA LAGI:  Bukan saja tempat luah perasaan, ChatGPT jadi 'personal trainer' bantu turunkan berat badan

Dalam kapsyen yang menyentuh jiwa, Akram berkongsi nasihat penuh makna yang disampaikan oleh tokoh agama itu ketika beliau berbisik ke telinganya.

"Perkahwinan bukan tentang sempurna tetapi tentang sabar yang tak putus, doa yang tak tinggal dan cinta yang sentiasa bertuhan," katanya. 

Akram berkata, pesanan itu disampaikan dengan nada tenang dan lembut, namun penuh makna yang menggunakan perasaan.

Kata-kata tersebut turut menyatakan bahawa bahagia bukan matlamat sebenar sebuah perkahwinan.

“Perkahwinan bukan titik mula bahagia tetapi titik mula sabar, syukur dan doa. 

“Kalau kamu nak belajar jadi hamba yang sabar, yang reda dan yang saling memimpin ke syurga, maka nikahlah kerana itu jalannya,” kata Dr Zulkifli seperti yang dikongsi Akram.

Tambahnya lagi, akad nikah bukan sekadar lafaz sah di sisi manusia tetapi satu sumpah di sisi Tuhan bahawa seseorang itu bersedia menjadi tempat paling aman untuk pasangannya.

"Bukan untuk sempurna tetapi untuk sabar dan setia. Akan datang hari kamu mahu menyerah, tetapi kuatkan diri kerana Tuhan belum selesai menulis kisah kamu," katanya. 

Menjengah ke ruangan komen, ramai warganet tersentuh dengan pesanan tersebut. 

Rata-rata individu mengakui kata-kata itu hadir tepat sebagai peringatan dalam meniti kehidupan rumah tangga.

Seorang pengguna, Alia Roslan berkongsi pengalamannya menghadiri kelas tadabbur al-Quran dan memperincikan makna mendalam dalam sebalik ungkapan 'Tuhan belum selesai menulis kisah kamu.'

"Takdir kita boleh berubah. Sebab itu ulama kata, doa seiring usaha. Dah usaha, doa lagi. Jangan hanya tawakal. Doa dan usaha itu mampu mengubah jalan takdir," tulisnya.

Pengguna lain, Miya turut menitipkan doa buat pasangan pengantin baru itu.

"Alhamdulillah. Pesanan yang amat berharga daripada orang yang berilmu. Semoga ALLAH berkati ikatan perkahwinan kamu, dik," katanya. 

Akaun lain, Jom Dakwah pula menegaskan bahawa perkahwinan adalah ibadah yang panjang.

"Kerana seumur hidup itu lama dan ibadah yang panjang adalah pernikahan. Dirikanlah ia bukan kerana kesempurnaan tetapi lewati dengan sabar dan setia," katanya. 

Sementara itu, Mixqlate memberi refleksi realistik tentang cabaran dalam rumah tangga.

"Rumah tangga bahagia itu impian semua, tetapi ada ujiannya. Untuk lihat bagaimana kita hadapi bersama. Manis itu ada, tapi susah pun ada," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram