WAO dedah bahaya pengantunan seksual, ibu bapa jangan abai 'red flag' khuatir anak jadi mangsa


  • Sihat
  • Khamis, 08 Mei 2025

Cinta bukan tentang siapa yang lebih tua atau lebih berpengaruh, sebaliknya mengenai dua individu yang mampu membuat keputusan secara bebas dan sedar.

CINTA sepatutnya menjadi ruang yang selamat untuk saling menyayangi dan menghormati. 

Namun, Women’s Aid Organisation (WAO) memberi amaran bahawa ramai mangsa terutama remaja perempuan terperangkap dalam hubungan yang disangka cinta, tetapi sebenarnya adalah manipulasi seksual yang dikenali sebagai grooming.

Kes terbaharu yang menjadi perhatian adalah hubungan antara pelakon Korea, Kim Sae-Ron yang dikatakan dimanipulasi oleh selebriti K-pop, Kim Soo-Hyun sejak usia 15 tahun. 

BACA LAGI: Bukan saja tempat luah perasaan, ChatGPT jadi 'personal trainer' bantu turunkan berat badan

BACA LAGI: Kanak-kanak cedera akibat lencana bendera, ibu bapa bimbang benda sama berulang, gesa henti penggunaan pin tajam di sekolah

 

WAO menjelaskan, situasi sebegini sering bermula dengan sesuatu yang kelihatan seperti percintaan tetapi sebenarnya adalah strategi pemangsa untuk mengawal dan mengeksploitasi.

"Pemangsa bijak menyamar sebagai pasangan yang prihatin dan penyayang.

"Mereka menjadikan mangsa rasa istimewa, disayangi, malah ‘dilamar’ secara emosi sedangkan niat sebenar ialah untuk memanipulasi mangsa," katanya.

WAO berkata, ramai remaja tidak menyedari bahawa cinta yang dirasai itu telah dirancang dari awal iaitu melalui pujian, hadiah dan janji manis yang membuai emosi.

Cinta atau Kawalan

Fenomena grooming atau pengantunan seksual sering kali berlaku apabila seorang dewasa menunjukkan minat romantik terhadap remaja yang belum matang dari segi emosi dan psikologi. 

Fenomena 'grooming' sering kali berlaku apabila seorang dewasa menunjukkan minat romantik terhadap remaja yang belum matang dari segi emosi dan psikologi. 

WAO menegaskan bahawa itu bukan soal cinta tidak mengenal usia tetapi lebih kepada keinginan untuk menguasai pasangan yang lebih muda dan mudah dipengaruhi.

Sebagai contoh, pempengaruh kontroversi seperti Andrew Tate yang secara terbuka menyatakan minat terhadap wanita muda kerana lebih senang dikawal. 

Bagi WAO, kenyataan sebegini membongkar realiti sebenar iaitu hakikat bahawa cinta bukan alasan untuk memanipulasi.

Selebriti Hollywood seperti Demi Lovato juga pernah berkongsi kisah tentang hubungan silam yang bermula ketika dia masih remaja. 

"Saya fikir ia cinta tetapi sebenarnya sangat menjijikkan,” katanya yang mencerminkan betapa mudah cinta dan grooming disalah tafsirkan terutama apabila pasangan lebih tua mengaburi realiti dengan kata-kata manis.

Dalam 'grooming', keputusan mangsa telah dimanipulasi sejak awal. — Gambar hiasan

WAO mengingatkan masyarakat agar lebih peka dan tidak mudah meromantiskan hubungan yang kelihatan manis di peringkat awal. 

"Hubungan cinta yang sihat dibina atas dasar hormat, kejujuran dan bukannya kawalan, ketakutan atau manipulasi.

"Jika seseorang dewasa benar-benar menyayangi remaja, mereka tidak akan mengambil kesempatan atas ketidakmatangan atau kebergantungan emosi individu itu," tegas WAO.

WAO menggesa orang ramai untuk lebih menilai dengan mendalam tentang sesuatu hubungan.

"Cinta bukan tentang siapa yang lebih tua atau lebih berpengaruh. Ia tentang dua individu yang mampu membuat keputusan secara bebas dan sedar.

"Dalam grooming, keputusan mangsa telah dimanipulasi sejak awal," katanya. — The Star/MING TEOH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram