
BAYANGKAN satu momen ketika melakukan penggambaran di dalam hutan dan hanya selepas itu hanya baru menyedari bahawa ada seekor harimau berkeliaran di kawasan sekitar dan memerhati anda dari jauh.
Itulah pengalaman luar biasa yang masih terpahat dalam ingatan penata gaya, Azza Arif yang kini mencipta nama di pentas antarabangsa.
“Waktu kami bergambar di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik, Perak, kami memang masuk jauh ke dalam hutan. Apabila dah selesai baru kami tahu ada harimau di kawasan sekitar memerhatikan kami.
"Hasil penggambaran tersebut sangat cantik,” kongsi Azza yang mengimbas momen mendebarkan itu yang akhirnya menjadi salah satu hasil kerja kegemarannya.
BACA LAGI: Pokok hiasan juga mampu menghalau nyamuk, alternatif semula jadi ganti semburan racun
Pelakon, Liv Tyler antara figura yang pernah menerima khidmat penggayaan Azza. — Instagram/@azzaarifk
Berusia 38 tahun dan merupakan anak kedua daripada enam beradik, Azza membesar di Mesir sebelum mengukir nama dalam dunia fesyen tanah air.
Keunikan latar belakangnya bukan sahaja membentuk cara dia melihat gaya dan kecantikan, tetapi juga menyuntik kefahaman budaya yang lebih luas dalam pendekatannya terhadap penggayaan dan penulisan fesyen.
Bermula seawal usia remaja, beliau memulakan kerjaya sebagai penata gaya wardrobe untuk drama sebelum melangkah ke dunia editorial bersama majalah seperti Women’s Weekly, Tatler dan Marie Claire.
Namun, kerjayanya mula berkembang dengan lebih jauh selepas beliau mula menembusi pasaran antarabangsa.
“Bukan semata-mata nasib. Ia datang dari membina jaringan, portfolio yang kukuh dan yang penting, jangan takut untuk bertanya dan ambil peluang,” kata wanita yang sudah berkecimpung dalam industri fesyen selama lebih dua dekad itu.
Kredibilitinya bukan sahaja terletak pada hasil kerja yang mengagumkan, malah pada keupayaannya membaca personaliti seseorang untuk diterjemahkan melalui gaya.
Beliau percaya bahawa gaya bukan hanya tentang cantik di mata, tetapi ia perlu mempunyai cerita dan jiwa di sebaliknya.
“Saya suka gaya yang ada makna.Bukan sekadar cantik. Ia perlu ada naratif, ada alasan kenapa gaya itu dipilih untuk seseorang artis,” ujarnya.
Sepanjang kariernya, Azza pernah bekerja dengan nama-nama besar Hollywood seperti Shailene Woodley dan Liv Tyler.
Namun di sebalik nama-nama besar tersebut, terdapat cabaran tersendiri yang harus Azza tempuh dalam memastikan setiap visi kreatifnya tercapai.
“Kadang-kadang klien ada idea mereka sendiri. Tapi saya juga ada visi saya. Jadi cabaran paling besar adalah bagaimana nak gabungkan dua dunia ini. Itu yang buat kerja saya menarik,” jelasnya.
Daiyan Trisha (kiri) dan Yuna antara artis tempatan yang pernah menerima sentuhan gaya oleh Azza. — Instagram/@azzaarifk
Azza turut menyentuh perbezaan budaya kerja antara Malaysia dan luar negara.
Menurutnya, pasukan produksi di luar lebih terstruktur dan setiap individu tahu peranan masing-masing.
"Dekat Malaysia lebih fleksibel, semua orang lebih santai. Kadang-kadang, kami kena buat beberapa tugas dalam satu-satu masa.
"Dekat luar negara, kerja mereka lebih tersusun dan jelas," jelasnya.
Menyentuh soal gaya peribadi, beliau menegaskan bahawa sebagai penata gaya, penting untuk mencerminkan profesionalisme melalui hasil kerja, bukan penampilan semata-mata.
“Tak salah nak tampil lebih bergaya daripada klien,tetapi apabila bekerja, biar hasil kerja lebih menyerlah,” katanya dengan tegas.
Kepada anak muda yang ingin menceburi dunia fesyen, Azza menekankan pentingnya keberanian dan merendah diri dalam menimba ilmu.
Beliau turut mengingatkan agar tidak segan bertanya kerana ilmu bukan datang dengan sendiri.
“Jangan takut untuk bereksperimen,” ujarnya.
Lebih daripada itu, katanya, melangkah keluar dari zon selesa adalah langkah pertama menuju kelainan dan dalam fesyen, kelainan itulah yang mencipta impak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram