Pokok hiasan juga mampu menghalau nyamuk, alternatif semula jadi ganti semburan racun


  • Relaks
  • Rabu, 07 Mei 2025

Pokok-pokok penghalau nyamuk membantu mengurangkan kebergantungan kepada racun kimia.

NYAMUK sememangnya antara serangga yang paling dibenci, terutamanya jika anda mempunyai anak kecil di rumah.

Bukan sahaja mengganggu waktu tidur dengan bunyinya yang nyaring, ia juga berpotensi menyebarkan penyakit berbahaya seperti denggi, malaria dan zika.

Kebanyakan daripada kita mungkin sudah terbiasa menggunakan semburan racun untuk menghapuskan nyamuk.

BACA LAGI: 'Gypsum board' solusi renovasi rumah jimat tanpa perlu pecah dinding

BACA LAGI: Anak ada tabiat meninggi suara? Bimbing dari kecil guna cara lembut tetapi berkesan

Namun, penggunaan berterusan produk kimia dalam rumah boleh menimbulkan risiko kesihatan jika disedut berlebihan, selain tidak mesra alam sekitar.

Persoalannya, adakah wujud cara semula jadi yang lebih selamat dan berkesan untuk menghalau nyamuk?

Jawapannya, ya. Tanpa perlu berbelanja besar atau menyembur racun setiap malam, anda boleh mencuba alternatif yang lebih hijau iaitu menanam pokok penghalau nyamuk.

Pokok disukai vs pokok yang dibenci nyamuk

Sebelum itu, menarik untuk diketahui bahawa nyamuk dewasa sebenarnya menjadikan nektar tumbuhan tertentu sebagai sumber makanan utama, bukan darah seperti yang sering disalah anggap.

Darah hanya diperlukan oleh nyamuk betina untuk proses pembiakan.

Antara tumbuhan yang menarik nyamuk termasuk keladi, teratai dan papirus.

Maka, jika kawasan rumah anda banyak ditumbuhi tumbuhan jenis itu, kemungkinan besar ia menjadi ‘syurga’ buat nyamuk membiak.

Sebaliknya, terdapat juga beberapa jenis tumbuhan tidak disukai nyamuk kerana aromanya kuat atau sifatnya yang mengganggu sistem ‘penghidu’ serangga ini.

Berikut antara pokok penghalau nyamuk yang boleh anda tanam di sekitar rumah, sama ada luar halaman atau dalam teratak anda:

Serai wangi boleh tumbuh besar sehingga enam kaki tinggi dan lebar.

1. Serai Wangi (Cymbopogon Nardus)

Bahan aktif dalam tumbuhan serai wangi, iaitu citronella, terkenal sebagai penghalau nyamuk semula jadi.

Ia sering digunakan dalam pembuatan lilin atau semburan nyamuk.

Serai wangi boleh tumbuh besar dengan ia memerlukan ruang yang luas sehingga enam kaki tinggi dan lebar.

Pastikan anda tidak tersalah pilih dengan serai masakan (Cymbopogon citratus) yang kurang berkesan.

Pudin sesuai ditanam dalam pasu dan diletakkan di dalam rumah.

2. Pudina (Mentha x Piperita)

Selain harum dan menyegarkan, pudina juga mengandungi minyak yang mampu menangkis nyamuk serta meredakan kegatalan akibat gigitan.

Ia sesuai ditanam dalam pasu dan diletakkan di dalam rumah kerana tumbuhan ini membesar secara terkawal.

Lavender efektif dalam menolak serangan nyamuk sehingga lapan jam.

3. Lavender

Bunga lavender bukan sahaja wangi dan menenangkan, malah efektif dalam menolak serangan nyamuk sehingga lapan jam.

Ia juga boleh menarik serangga pendebunga yang baik untuk ekosistem taman anda.

Pastikan lavender mendapat cahaya matahari mencukupi dan ruang untuk tumbuh subur.

Daun selasih berupaya membunuh larva nyamuk.

4. Daun Selasih (Ocimum Basilicum)

Daun ini menghasilkan aroma semula jadi yang tidak digemari nyamuk.

Malah, ia turut berupaya membunuh larva nyamuk jika diletakkan berhampiran kawasan tadahan air.

Selain berguna sebagai penghalau nyamuk, daun selasih juga digunakan secara meluas dalam masakan Barat.

Warna terang bunga tahi ayam mampu menghalau nyamuk.

5. Bunga Tahi Ayam (Lantana Camara)

Walaupun baunya tidak menyenangkan bagi sesetengah orang, warna terang dan keupayaannya menghalau nyamuk menjadikan pokok itu pilihan sesuai untuk ditanam di luar rumah.

Terutama di kawasan berpotensi jadi tempat pembiakan nyamuk seperti pasu dan longkang.

Geranium mengganggu keupayaan nyamuk mengenal pasti mangsa.

6. Geranium (Pelargonium Radula)

Tumbuhan itu mudah dibiakkan melalui keratan batang dan mengeluarkan aroma yang mengganggu keupayaan nyamuk mengenal pasti mangsa.

Ia lebih sesuai diletakkan di kawasan teduh kerana tidak tahan panas terik.

 Orange yellow French marigold or Tagetes patula flower on a blurred garden background. Marigolds.Selective focus.

Marigold mengeluarkan bau kuat yang boleh menangkis beberapa jenis serangga termasuk nyamuk.

7. Marigold

Berasal dari keluarga sama dengan bunga tahi ayam, marigold mengeluarkan bau kuat yang boleh menangkis beberapa jenis serangga termasuk nyamuk.

Ia juga mudah dijaga dan mempunyai bunga yang cantik serta ceria.

Kebersihan persekitaran tetap keutamaan

Selain menanam tumbuhan itu, langkah paling penting dalam pencegahan nyamuk ialah menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

Pastikan tiada air bertakung di halaman rumah, buang bekas kosong yang boleh menakung air dan bersihkan saluran longkang secara berkala.

Pokok-pokok penghalau nyamuk itu bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada racun kimia, malah mencantikkan kediaman anda.

Sama ada di taman mini, balkoni apartmen atau dalam ruang tamu, pilihlah tumbuhan yang sesuai dengan gaya hidup anda.

Dengan langkah semula jadi ini, anda bukan sahaja dapat menjauhkan nyamuk, tetapi juga mewujudkan persekitaran rumah yang lebih sihat, segar dan lestari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram