'Kemiskinan meragut cinta', wanita luah beban hidup walau suami gaji RM7,000 sebulan


  • Relaks
  • Rabu, 07 Mei 2025

Di sebalik kasih sayang yang kukuh, bayangan realiti kehidupan 'keras' semakin menutup langit kebahagiaan. — Gambar Hiasan

DI sebalik senyuman seorang isteri yang kelihatan bahagia bersama suami penyayang, tersembunyi keresahan kian hari kian menyesakkan dada.

Seorang wanita berusia 30 tahun baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila meluahkan kebimbangannya mengenai tekanan hidup yang semakin menjejaskan keharmonian rumah tangganya.

Dalam luahan dikongsikan di Facebook tanpa nama, wanita itu berkongsi dilema dihadapinya selepas dua tahun berkahwin dengan lelaki yang jujur, bertanggungjawab dan mencintainya sepenuh hati.

BACA LAGI: [VIDEO] Hidangan Melayu jadi penaik selera majlis kahwin gaya kolonial di Shanghai

BACA LAGI: Pokok hiasan juga mampu menghalau nyamuk, alternatif semula jadi ganti semburan racun

Namun, di sebalik kasih sayang yang kukuh itu, bayangan realiti kehidupan 'keras' semakin menutup langit kebahagiaan mereka.

Suaminya yang berpendapatan sekitar RM7,000 sebulan iaitu merupakan satu angka pada pandangan umum dianggap memadai untuk menjalani kehidupan selesa di negara ini.

Tetapi baginya, apabila ditolak bayaran rumah, ansuran kereta, bil-bil utiliti, barangan dapur dan perbelanjaan harian, pendapatan itu hanya cukup bertahan bukan untuk berkembang.

Lebih membimbangkan, dia tidak nampak ruang untuk merancang masa depan selepas tiada simpanan kecemasan, peluang bercuti, apatah lagi memikirkan soal anak.

Dalam satu perbualan sewaktu makan malam, wanita itu memberanikan diri bertanya kepada suaminya sama ada dia pernah terfikir untuk mencari kerja yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Suaminya tenang hanya menjawab perlahan menyatakan bahawa kerja yang ada sekarang stabil dan dia sudah berusaha sebaik mungkin.

Jawapan itu membuatkan si isteri terkedu, akhirnya hatinya dipenuhi rasa sayu dan kecewa.

Dia tidak pernah membenci suaminya, malah masih mencintainya akan tetapi dalam hatinya, lahir rasa takut iaitu di masa akan datang mereka kekal dalam kesempitan.

Wanita itu juga takut tidak mampu memberikan kehidupan yang baik kepada anak-anak dan paling dikhuatiri cinta mereka tidak cukup kuat untuk menampung tekanan semakin berat.

Si isteri juga mengakui bahawa dia pernah cukup bahagia dengan kehidupan yang sederhana.

Baginya, cinta sudah cukup sebagai permulaan, namun begitu, apabila melihat rakan-rakan lain melancong bersama keluarga, membeli rumah baharu atau memandu kereta baharu mula timbul rasa ragu dalam hati.

Bukan cemburu, tetapi persoalan yang timbul, "Mengapa mereka boleh, tetapi aku tidak?"

Luahan itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial dengan ada yang memahami rasa kecewanya, ada pula yang menuduhnya tidak bersyukur dan terlalu materialistik.

Wanita itu berkongsi dilema dihadapinya selepas dua tahun berkahwin dengan suaminya. Gambar Hiasan

Ramai yang menyatakan RM7,000 sudah lebih daripada cukup, terutamanya untuk pasangan muda tanpa anak.

Tetapi apa yang ramai tidak nampak ialah tekanan psikologi lahir daripada ketidaktentuan masa depan kerana ia bukan sekadar soal jumlah wang, tetapi rasa tidak mampu untuk mencipta kehidupan lebih baik.

Isu itu menyentuh sesuatu yang sangat peribadi dan mendalam dengan timbul persoalan tentang bagaimana cinta boleh berhadapan dengan cabaran ekonomi semakin menekan.

Dalam dunia hari ini, yang mana kos sara hidup terus meningkat dan gaji tidak seiring dengan keperluan, perkahwinan bukan lagi sekadar soal perasaan.

Ia menuntut ketahanan, perancangan dan kesepakatan yang lebih kompleks.

Bagi wanita itu, cinta bukan masalahnya akan tetapi dia tidak mahu cinta itu mati perlahan-lahan hanya kerana mereka tidak mampu bertindak lebih jauh.

Dia tidak menuntut kemewahan, tetapi mengharapkan sebuah kehidupan yang sekurang-kurangnya mampu memberi mereka ruang untuk bermimpi, merancang, dan membina keluarga tanpa rasa bersalah atau beban berlebihan.

Mungkin apa yang diperlukan bukan hanya perubahan dalam pendapatan, tetapi juga pendekatan baharu dalam perancangan kewangan dan komunikasi antara suami isteri.

Dalam rumah tangga, bukan soal siapa yang lebih banyak memberi, tetapi bagaimana kedua-duanya bergerak seiring dengan menyokong dan memahami satu sama lain dalam menghadapi cabaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram