Kayu buangan ke kedai gaya hidup, TGF pacu Malaysia jadi juara ekonomi kitar semula


  • Relaks
  • Selasa, 06 Mei 2025

Kedai konsep TGF dibina daripada bahan kitar semula, termasuk kayu pallet terpakai, sisa industri dan bahan semula jadi

APA jadi kalau sisa buangan kayu boleh tukar menjadi meja cantik, hiasan eksklusif atau hadiah korporat mewah?

Itulah persoalan yang dijawab oleh The Green Factory (TGF), syarikat sosial dan perintis dalam bidang rekaan serta penghasilan produk berasaskan kayu kitar semula, yang kini semakin giat memperkenalkan konsep ekonomi pusingan ke dalam masyarakat Malaysia.

Sempena sambutan Sustainaboleh! sebuah acara komuniti tentang gaya hidup mampan, TGF melancarkan kedai konsep pertama mereka di The Campus, Ampang.

BACA LAGI: 'Gypsum board' solusi renovasi rumah jimat tanpa perlu pecah dinding

BACA LAGI: Anak buat gaya wajah pelik bila fokus? Ini mungkin simptom awal 'lazy eye'

Ia bukan sekadar tempat beli produk kitar semula, tetapi simbol bagaimana gaya hidup lestari boleh menjadi sesuatu yang 'cool' dan penuh bergaya.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyokong usaha ini sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Ekonomi pusingan bukan hanya untuk negara maju. Malaysia juga ada potensi besar dan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) seperti The Green Factory membuktikan inovasi hijau mampu jadi strategi perniagaan yang berjaya,” katanya.

TGF juga menghasilkan perkakas kegunaan harian di dapur.

Bukan kedai biasa

Kedai konsep TGF dibina daripada bahan kitar semula, termasuk kayu pallet terpakai, sisa industri dan bahan semula jadi yang diproses semula menjadi struktur bergaya dan selamat.

Di dalamnya pula, pengunjung boleh membeli pelbagai produk hasil buangan yang ‘diselamatkan’ dari papan pemotong, kerusi rekaan unik, hingga bingkai gambar sehingga hadiah korporat eksklusif.

Lebih menarik, ada ruang bengkel untuk komuniti, kawasan eksperimen bahan dan zon interaktif untuk kanak-kanak serta pelajar universiti yang ingin belajar tentang asas pertukangan dan prinsip 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula).

Pendek kata, itu bukan sekadar kedai – ia ialah pusat pendidikan dan inspirasi untuk ekonomi pusingan ala Malaysia.

Antara barangan yang dihasilkan oleh TGF.

Dari bengkel ayah ke ikon industri hijau

The Green Factory ditubuhkan oleh Harith Ridzuan, seorang arkitek dan aktivis kelestarian yang mewarisi semangat usahawan daripada bapanya yang mengasaskan bengkel kayu One-Tech (M) Sdn Bhd pada 1993.

Harith yang kini juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mengubah hala tuju syarikat keluarga itu kepada pembuatan berasaskan bahan kitar semula dan kini TGF menjadi pelopor dalam industri rekaan hijau di Malaysia.

Antara projek terkenal mereka:

Farm Fresh: 48 tan kayu pallet dan kotak kayu dibuang diselamatkan dan dijadikan semula menjadi perabot khas untuk taman pengalaman jenama susu tempatan itu.

The Datai Langkawi: Projek pemulihgunaan sisa binaan dan kayu tempatan membantu hotel mewah itu mencapai kadar sifar sisa ke tapak pelupusan mencecah 96%.

FGV Holdings: Sisa pelepah sawit seberat 67 kg dijadikan trofi dan kotak hadiah premium.

"Ramai fikir sisa industri tak boleh dipulih guna. Kami nak ubah tanggapan itu.

"Kalau ada kemahuan dan kreativiti, semuanya mungkin," katanya Harith kepada Majoriti.

Antara pelajar yang menyertai bengkel dianjurkan oleh TGF.

Dari Malaysia ke dunia?

TGF kini di bawah naungan Sepulo Holdings, dengan sokongan kuat daripada Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, yang turut hadir dalam majlis perasmian.

"Ekonomi pusingan bukan isu alam sekitar semata-mata. Ia juga tentang peluang ekonomi, keadilan sosial dan tanggungjawab korporat.

"Kita mahu lebih ramai pemain industri tidak kira besar atau kecil mengikuti jejak langkah ini," jelasnya.

Nik Nazmi (tengah) merasmikan kedai TGF.

Sebagai tanda pencapaian, TGF pernah menerima pelbagai anugerah termasuk:

1. Good Design Award Japan 2018

2. Europa Award for Best Environmental Impact (SME) 2018

3. Sustainable Energy & Green Technology International Innovation Award 2024

Harapan baharu, generasi baharu

Pelancaran itu juga memperlihatkan bagaimana generasi baharu usahawan Malaysia membawa perubahan bukan dengan ceramah atau dasar sahaja, tapi melalui produk nyata yang boleh dipegang, diguna dan dibanggakan.

"Kami bukan hanya buat perabot atau hadiah. Kami bina naratif baharu tentang apa maksudnya jadi warga bumi yang bertanggungjawab,” tambah Harith.

Dengan komitmen kerajaan, kerjasama swasta dan sokongan orang ramai, The Green Factory yakin masa depan ekonomi pusingan Malaysia bukan lagi angan-angan tetapi peluang sebenar yang sedang terbentang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram