
KITA semua maklum bahawa setiap budaya memiliki cara tersendiri dalam meraikan majlis perkahwinan, apatah lagi apabila ia melibatkan keluarga masyarakat China yang terkenal dengan kemeriahan dan simbolik makanan tradisional mereka.
Namun, sebuah majlis resepsi perkahwinan di Shanghai baru-baru ini mengundang perhatian ramai apabila juadah utama yang disajikan bukanlah seperti yang dijangka.
Sebaliknya, para tetamu disambut dengan aroma sambal, hirisan telur rebus dan rangupan ikan bilis dari sepiring nasi lemak yang wangi.
BACA LAGI: 'Gypsum board' solusi renovasi rumah jimat tanpa perlu pecah dinding
BACA LAGI: Anak buat gaya wajah pelik bila fokus? Ini mungkin simptom awal 'lazy eye'
Momen luar biasa itu dirakam oleh seorang rakyat Malaysia yang kini mengusahakan perniagaan katering di Shanghai.
Melalui akaun TikTok miliknya, @secretflavorshanghai, beliau berkongsi video majlis tersebut yang memperlihatkan sebuah jamuan perkahwinan eksklusif lengkap dengan sentuhan citarasa Malaysia.
Apa yang menjadikan majlis itu luar biasa bukan hanya kerana ia berlangsung di halaman sebuah rumah agam mewah bergaya kolonial Eropah dengan hiasan kerusi balut putih dan reben merah menyala.
Ia tetapi kerana keberanian tuan rumah sebuah keluarga masyarakat China yang memilih untuk menjamu tetamu mereka dengan masakan Melayu.
Di sebalik kesungguhan mengekalkan kemewahan majlis, terselit rasa kagum melihat makanan yang begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia menjadi pilihan utama di negara asing.
Antara hidangan yang disediakan termasuklah nasi lemak yang lengkap seperti di kenduri kampung, sambal pekat, telur rebus, kacang tanah goreng, dan ikan bilis rangup.
Turut menjadi sajian utama ialah satay ayam bersama kuah kacang, karipap garing dan air sirap merah jambu yang sejuk serta teh tarik berbuih, seakan menghidupkan semula suasana kenduri kampung di tengah-tengah kota moden Shanghai.
Menurut pemilik akaun TikTok itu, beliau telah diberi kepercayaan penuh oleh keluarga pengantin untuk menyediakan makanan bagi majlis istimewa itu.
Pengalaman itu menjadi bukti bahawa selera Malaysia bukan sahaja mampu menambat hati rakyat tempatan, bahkan berjaya menawan selera antarabangsa.
“Orang China kahwin pun nak makan makanan Malaysia,” tulisnya dalam video tersebut.
Majlis itu, walaupun diadakan ribuan kilometer dari tanah air, tetap membangkitkan rasa rindu dalam kalangan rakyat Malaysia di perantauan.
Ramai yang meluahkan keterujaan dan rasa bangga di ruangan komen, mengatakan bahawa pilihan keluarga tersebut membuktikan betapa tinggi nilai dan reputasi makanan Malaysia di mata dunia.
Malah, ada yang bergurau mereka sendiri belum pernah merasa nasi lemak dalam majlis kahwin, tetapi di Shanghai sudah menjadi jamuan rasmi.
Lebih daripada sekadar sajian, makanan dalam majlis ini menjadi simbol penerimaan dan keterbukaan budaya.
Dalam dunia hari ini yang semakin terhubung, adalah sesuatu yang indah apabila warisan makanan kita mampu menembusi batas geografi dan menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dalam hidup orang lain.
Sama ada dimakan ketika sarapan pagi di warung tepi jalan atau dihidangkan dalam majlis mewah di Shanghai, nasi lemak tetap membawa satu rasa yang sama rasa iaitu Malaysia yang sejati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram