Apabila penampilan tetamu lebih menonjol berbanding raja sehari, lebih kuah dari sudu


  • Relaks
  • Selasa, 06 Mei 2025

Sebagai tetamu, perlu juga untuk mengetahui adab berpakaian menghadiri majlis perkahwinan. — Gambar hiasan

MAJLIS perkahwinan merupakan detik istimewa yang memberi ruang kepada pasangan pengantin untuk tampil sebagai tumpuan utama, lengkap dengan busana indah, dandanan rapi serta aura tersendiri sebagai 'raja sehari'.

Namun begitu, tidak dinafikan terdapat segelintir tetamu yang hadir dengan penampilan yang begitu menonjol, sehingga mengundang persoalan dalam kalangan ramai berhubung wajarkah seseorang tampil lebih bergaya daripada pengantin pada hari istimewa tersebut?

Sehubungan itu, Majoriti menemu bual ringkas beberapa individu bagi mendapatkan pandangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak banyak modal pun, beli jajan kesukaan isteri lepas balik kerja antara tip buat suri hati rasa dihargai

BACA LAGI: Dulu lain, sekarang luar biasa, 'glow up' 8 selebriti wanita ini cukup mempersona

Secantik mana pun penampilan tetamu, namun ia tidak akan boleh menandingi seri pengantin. — Gambar hiasan/Freepik

Bagi Nurul, beliau tidak melihat penampilan tetamu yang ‘over’ sebagai isu besar.

“Pengantin tetap ada seri tersendiri. Kalau mereka pakai biasa pun, orang tahu dia pengantin," katanya.

Beliau percaya bahawa aura dan penampilan pengantin pada hari bahagia mereka tetap menonjol walaupun ada tetamu yang tampil bergaya luar biasa.

"Nak bergaya lebih sikit itu normal, tetapi kita pun kena tahu batas. Susah nak lawan pengantin sebab mereka lengkap dari hujung rambut ke hujung kaki," tambahnya.

Namun begitu, pandangan berbeza dilontarkan oleh Nina yang lebih tegas dalam isu ini.

Menurutnya, tetamu seharusnya memahami bahawa hari itu adalah milik pengantin dan mereka perlu menunjukkan rasa hormat.

“Saya tak boleh terima kalau orang datang dengan pakaian lebih bergaya daripada pengantin. Kena ada common sense,” jelasnya.

Beliau juga mengakui bahawa jika dirinya sebagai tetamu, beliau tidak akan berpakaian melebihi pengantin kerana memahami perasaan menjadi tumpuan pada hari istimewa.

“Kita datang untuk meraikan, bukan berlawan siapa paling menonjol,” ujarnya lagi.

Syafiqah pula berkongsi pandangan sebagai pengantin meskipun belum berkahwin lagi.

Katanya, beliau pasti akan rasa kecewa jika ada tetamu berpakaian berlebihan hingga menenggelamkan penampilan dirinya.

“Hari itu adalah hari pasangan raja sehari. Jadi biarlah mereka yang bersinar,” tegasnya.

Menurutnya, menjaga sensitiviti dalam berpakaian adalah sebahagian daripada adab dan tanda menghormati majlis orang.

Dalam pada itu, jurusolek, Nabilah Huda melihat isu ini dari sudut berbeza.

Katanya, tiada siapa yang boleh menandingi seri pengantin walau sebaik mana pun tetamu berpakaian.

“Tetamu takkan dapat kalahkan seri pengantin. Saya sebagai jurusolek akan pastikan mereka (pengantin) rasa cantik sangat,” ujarnya sambil menambah bahawa keyakinan pengantin adalah kunci sebenar untuk bersinar.

Sementara itu, pakar estetik, Dr. Dalila Hazmy pula mengambil pendekatan positif terhadap perkara ini.

Beliau melihat tetamu yang berpakaian lebih menonjol sebagai tanda keterujaan meraikan hari bahagia pengantin.

“Kalau tetamu pakai baju 'meletop' pun, pengantin tetap nampak pengantin,” katanya sambil menegaskan bahawa suasana positif tetap menjadi keutamaan dalam sesebuah majlis.

Jadi, tiada masalah untuk tampil bergaya ke majlis kahwin. Yang penting tahu batas dan jangan sampai jadi 'pengantin tidak rasmi'.

Ingat, walau secantik mana pun pakaian anda, hari itu tetap milik raja dan permaisuri sehari.

Biarlah mereka yang bersinar, kita pula menyokong dari sisi dengan gaya, tetapi juga dengan hormat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram