
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Nancy Shukri memandang serius terhadap kes gangguan seksual melibatkan seorang pemandu e-hailing dan remaja perempuan berusia 15 tahun di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan tindakan bapa mangsa yang memarahi pemandu terbabit selepas dipercayai cuba melakukan gangguan seksual terhadap anak gadisnya.
Kejadian itu juga didakwa berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Ralit tengok gajet, kontraktor di China selisih maut hampir dihempap kren jatuh
BACA LAGI: Ibu buntu misteri kehilangan anak gadis, kali terakhir dikesan pakai baju sukan sekolah di Kuching
Dalam kejadian sama, mangsa juga didakwa diminta membuka tudung oleh pemandu berkenaan.
Apabila remaja perempuan bertanya tujuan meminta sedemikian, lelaki terbabit berkata hanya untuk melihat muka.
Mangsa bagaimanapun enggan dan menolak dengan memberitahu bahawa dia tidak boleh mendedahkan auratnya.
Susulan itu, Nancy berkata, tindakan tegas bapa mangsa yang mendesak lelaki terbabit ke balai polis mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu yang tidak boleh dipandang ringan.
"Saya difahamkan bahawa kes ini sudah berada di bawah siasatan pihak polis.
"Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera.
"Sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya menyeru semua pihak untuk berani bersuara menentang gangguan seksual demi mempertahankan maruah dan keselamatan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau pada masa sama mengingatkan para remaja lain untuk berani bertindak dan tidak berdiam diri sekiranya berdepan dengan situasi itu.
"Anda berhak untuk bertindak demi keselamatan dan maruah diri. Saya juga komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual," tambahnya.
Nancy turut mengajak wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik termasuk rakan sekerja untuk bersama-sama membina persekitaran yang lebih selamat, bermaruah dan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram