Jalan laju bantu kurangkan risiko degupan jantung tidak sekata — Kajian


  • Relaks
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Berjalan kaki secara laju bukan sekadar senaman, ia juga kunci untuk jantung yang lebih sihat. — Gambar hiasan/Freepik

SATU kajian membuktikan bahawa berjalan kaki dengan lebih laju bantu mengurangkan risiko masalah degupan jantung tidak sekata atau istilah saintifiknya, aritmia. 

Kajian itu menunjukkan bahawa berjalan pantas adalah senaman yang selamat dan berkesan untuk mencegah masalah ritma jantung, iaitu keadaan jantung berdegup terlalu perlahan atau terlalu laju.

Kajian tersebut dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Glasgow, United Kingdom (UK), menggunakan data daripada 420,925 individu dalam pangkalan data UK Biobank yang turut merekodkan kelajuan berjalan melalui soal selidik.

BACA LAGI: Rawatan hipnoterapi, CBT bantu tangani gejala sakit perut kronik kanak-kanak

BACA LAGI: Rumah sudah siap, jangan terus masuk! Berikut panduan jadi pemilik bijak

Antara tanda-tanda aritmia adalah kesukaran bernafas atau rasa cemas.  Gambar hiasan/Freepik

Kelajuan berjalan dibahagikan kepada tiga kategori:

1. Perlahan, kurang daripada 4.8 kilometer (km) sejam.

2. Sederhana, antara 4.8km hingga 6.4km sejam.

3. Laju, lebih daripada 6.4km sejam.

Sebelum menyentuh berkaitan kajian, berikut merupakan tanda-tanda aritmia:

1. Pening atau hampir pitam.

2. Cepat rasa penat.

3. Rasa lemah.

4. Degupan jantung yang tidak sekata atau berdebar-debar.

5. Sakit dada atau rasa tertekan pada dada.

6. Kesukaran bernafas atau rasa cemas.

Menurut kajian penyelidik dari Universiti Glasgow, seramai 221,664 peserta berjalan pada kelajuan sederhana, manakala 171,384 peserta berjalan laju.

Sepanjang tempoh 13 tahun, seramai 36,574 orang mengalami masalah degupan jantung tidak sekata.

Antara masalah yang dilaporkan termasuk Fibrilasi atrium (AF) melibatkan ahagian atas jantung berdegup terlalu laju dan tidak teratur, degupan jantung terlalu perlahan, masalah ritma jantung dari ruang bawah jantung (ventrikel).

Masalah sedemikian boleh meningkatkan risiko strok, kegagalan jantung dan serangan jantung jika tidak dirawat.

Punca utama kebiasaannya berkaitan dengan gangguan sistem elektrik jantung, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh tekanan darah tinggi, serangan jantung, ubat-ubatan tertentu atau jangkitan virus.

Setelah mengambil kira faktor seperti umur dan gaya hidup, penyelidik mendapati bahawa mereka yang berjalan pada kelajuan sederhana atau laju mempunyai risiko 35 peratus dan 43 peratus lebih rendah untuk mengalami masalah ini berbanding mereka yang berjalan perlahan.

Malah, risiko fibrilasi atrium dapat dikurangkan hampir separuh iaitu 46 peratus dalam kalangan mereka yang berjalan paling laju.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Heart mengukuhkan cadangan supaya orang ramai mengamalkan berjalan laju dalam rutin senaman harian.

Untuk 81,956 peserta yang merekodkan masa berjalan kaki, sebanyak 4,117 orang didapati mengalami masalah degupan jantung sepanjang tempoh kajian.

Mereka yang lebih kerap berjalan pada kelajuan sederhana atau laju dilaporkan mengalami penurunan risiko sebanyak 27 peratus.

Penyelidik turut menjelaskan bahawa berjalan dengan lebih laju dapat mengurangkan risiko obesiti dan keradangan yang mana merupakan dua penyumbang kepada masalah jantung. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram