Rumah sudah siap, jangan terus masuk! Berikut panduan jadi pemilik bijak


  • Relaks
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Semua dokumen seperti surat serah kunci, pelan rumah dan senarai defect harus disimpan rapi sebaik menerima kunci rumah. — Gambar hiasan/Freepik

RAMAI pembeli berasa takut atau tidak bersedia apabila rumah mereka siap lebih awal daripada jangkaan.

Walaupun pada zahirnya perkara itu berita baik, realitinya ia mendatangkan tekanan, terutamanya dari segi kewangan.

Apabila rumah diserahkan lebih awal, bayaran pinjaman mula dikenakan serta-merta, sedangkan ramai pembeli masih terikat dengan sewa rumah sedia ada atau belum menyediakan bajet untuk berpindah.

BACA LAGI: Greenwall solusi bijak 'hijaukan' ruang sempit rumah apartmen, wujudkan suasana damai

BACA LAGI: Hati-hati mungkin ada di rumah anda, 5 warna penyumbang stres lepas penat bekerja

Rumah yang baharu siap biasanya kosong tiada lampu, kipas, gril, atau langsir sehingga kurang selesa untuk didiami.

Ini membuatkan ramai rasa terbeban kerana terpaksa tanggung dua komitmen serentak iaitu membayar pinjaman dan menyediakan kos masuk rumah baharu.

Selain itu, ramai juga khuatir tentang kualiti rumah yang disiapkan awal sekiranya kerja pembinaan dilakukan secara tergesa-gesa oleh pemaju semata-mata mengejar tarikh serahan.

Kebimbangan terhadap kemungkinan terdapat banyak kecacatan (defect) seperti retakan, paip bocor atau jubin senget menjadi faktor utama yang menimbulkan rasa ragu dan takut.

Tambahan pula, tidak semua pembeli terutama yang membeli rumah pertama tahu tentang proses pemeriksaan defect, hak mereka sebagai pembeli atau dokumen penting perlu disemak sebelum terima kunci.

Kekurangan ilmu itu menambahkan lagi rasa tidak yakin dan tekanan kepada pembeli rumah.

Ramai rasa terbeban terpaksa tanggung dua komitmen serentak iaitu membayar pinjaman dan menyediakan kos masuk rumah. Gambar hiasan 

Bagaimanapun seperti perkongsian oleh Zam Sani di Facebook, situasi dialami jangan terus dibuai dengan emosi.

Sebaliknya, inilah saat penting untuk pembeli bertindak dengan waras dan berstrategi kerana setiap keputusan dibuat sekarang bakal memberi kesan untuk tiga dekad akan datang.

Sebelum melangkah masuk ke rumah impian, tahan diri seketika kerana harta dibeli berharga ratusan ribu ringgit.

Maka, perkara pertama wajib dilakukan ialah pemeriksaan defect, jangan terus terima rumah tanpa semakan terperinci.

Dinding retak, paip bocor, jubin senget atau siling merekah bukan perkara luar biasa.

Pemaju juga manusia dan mempunyai silap, jadi pembeli perlu membawa pakar pemeriksaan (inspector) yang bertauliah jika mampu mengesan dengan cepat.

Rakam gambar setiap kerosakan dan buat laporan rasmi menggunakan 'platfrom' itu sebagai hak pembeli.

Selesai bab pemeriksaan, semak pula hal-hal utiliti serta dokumen penting dengan memastikan meter air serta elektrik telah dipasang dan Sijil Layak Didiami (CCC) pun dikeluarkan.

Jangan lupa minta senarai manual dan waranti daripada pemaju dari pintu ke pam air termasuk setiap gril.

Semua dokumen seperti surat serah kunci, pelan rumah dan senarai defect harus disimpan rapi.

Ini bukan sahaja untuk rujukan, tetapi juga perlindungan masa depan.

Utamakan aspek keselamatan dan keselesaan asas dahulu seperti pasang gril, kipas, lampu dan langsir.

Bahagian renovasi pula, jangan terburu-buru nak penuhkan troli di IKEA kerana perancangan harus ikut keutamaan, bukan nafsu.

Utamakan aspek keselamatan serta keselesaan asas dahulu seperti pasang gril, kipas, lampu dan langsir.

Kalau bajet terhad, buat secara berperingkat kerana edtetik boleh menyusul kemudian.

Tambahnya lagi, jangan lupa urusan insurans dan cukai dengan memastikan rumah dilindungi insurans kebakaran, serta didaftarkan cukai pintu serta cukai tanah secepat mungkin.

Jika bercadang untuk menyewakan, tukarkan kategori rumah kepada pelaburan dan laporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Ini semua bukan sekadar formaliti, tapi perlindungan undang-undang yang penting.

Akhir sekali, jangan jadi pemilik rumah yang asing dengan komuniti dan sentiasa kenali jiran-jiran, masuk dalam kumpulan WhatsApp kawasan, bertegur sapa dengan ahli jawatankuasa (AJK).

Ambil tahu isu longkang, keselamatan dan risiko banjir di kawasan sendiri kerana kadang-kadang, rumah kita selamat bukan sebab penggera canggih, akan tetapi komuniti yang peka dan saling menjaga.

Zam Sani menutup perkongsiannya dengan satu pesanan penting dengan mengingatkan pembeli tentang menjadi pemilik yang bertanggungjawab.

"Kalau langkah diatur dengan betul dari awal, 30 tahun akan datang kita masih tersenyum dalam rumah yang sama." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram