
PERNAHKAH anda meminjamkan wang kepada orang lain, tetapi pada hujung 'cerita' mereka hilang tanpa khabar berita sehingga hutang tertangguh lama.
Ada sesetengah individu pula buat tidak tahu sahaja apabila berkali-kali diminta melunaskan hutang.
Walau dimarahi, diperli ataupun diberi amaran tiada sedikitpun terbit perasaan serba salah. Ibarat pepatah Melayu bagai mencurah air ke daun keladi. Apa lagi perlu dilakukan? Boleh ke kita mendapatkan keadilan di mahkamah?
BACA LAGI: '9 tahun bersabar, nafkah semua beri,' peguam syarie saran 4 langkah hadap isteri degil
Menerusi sebuah video dimuat naik di akaun TikTok Peguam Nas Rahman, ramai individu berkongsi isu perihal saman kepada orang yang culas membayar hutang.
Berserta kapsyen, "Ada sesiapa mempunyai member liat bayar hutang? Bila diminta macam-macam alasan bagi dan sampai tahap lari daripada kita kerana tidak mahu bayar hutang walaupun baru tukar sport rim."
Video tersebut dihujani bermacam-macam komen daripada warganet yang mengadu mengalami nasib sedemikian.
Justeru, Nas menjelaskan cara membuat tuntutan di mahkamah bagi jumlah hutang bawah RM5,000 melalui proses dikenali saman tuntutan kecil.
Menurutnya, proses tersebut tidak begitu rumit kerana individu hanya perlu ke mahkamah majistret berhampiran bagi mengisi borang tuntutan kecil atau borang 918.
Bagaimanapun, anda yang menuntut harus mengetahui nama penuh dan alamat lengkap pihak ingin disaman.
Pada masa sama, nombor MyKad supaya proses tuntutan menjadi lebih mudah.
“Kena ada nama penuh dan alamat orang yang nak disaman. Kalau ada nombor IC, lagi bagus lebih mudah. Tapi paling penting alamat untuk serahkan saman kepadanya,” kata beliau.
Kelebihan membuat saman tuntutan kecil anda tidak perlu melantik peguam dan mewakili diri sendiri sahaja, sekali gus menjimatkan kos guaman.
Ujarnya lagi, "Jika kawan anda sudah terima saman, tetapi tiada balasan dan tidak hadir untuk membuat pembelaan di mahkamah, kita boleh terus mohon penghakiman bermaksud kita dah menang.
"Apabila sudah menang, senang sikit ke peringkat seterusnya, paling penting failkan dulu saman tuntutan kecil tersebut," jelasnya lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram