Hak wanita dalam iddah wajib dipenuhi suami, bergantung pada jenis talak antara raj'ie dan bain


  • Massa
  • Khamis, 13 Mac 2025

Penting untuk wanita mengambil tahu mengenai hak-hak semasa dalam tempoh iddah. — Gambar hiasan/Freepik

PERKAHWINAN merupakan satu ikatan suci antara pasangan yang membina kehidupan bersama berdasarkan kasih sayang dan tanggungjawab. 

Namun, tidak semua perkahwinan berakhir dengan kebahagiaan kerana terdapat situasi di mana pasangan mengambil keputusan untuk bercerai. 

Perceraian bukan sahaja melibatkan perpisahan emosi tetapi juga menimbulkan persoalan tentang hak-hak yang perlu dipenuhi selepas perkahwinan berakhir, khususnya bagi wanita dalam tempoh iddah. 

BACA LAGI: Wanita perlu seimbang tangani tekanan hidup, elak minuman kafein berlebihan antara tips kekal sihat - Dr. Sharifah Shawati

BACA LAGI: Apabila anak kecil enggan tinggal bersama ibu, bekas suami tidak pujuk dianggap langgar perintah mahkamah

Irsamuddin menjelaskan, hak-hak wanita dalam tempoh iddah bergantung kepada situasi dan jenis talak.

Iddah adalah tempoh menunggu yang diwajibkan ke atas wanita selepas perceraian sebelum mereka dibenarkan berkahwin semula. Dalam tempoh ini, hak-hak wanita berbeza mengikut jenis talak yang dilalui.

Menurut peguam syarie, Irsamuddin Fitri, hak-hak wanita semasa tempoh iddah bergantung kepada jenis talak yang dilalui oleh pasangan tersebut.

"Hak-hak wanita dalam tempoh iddah sebenarnya bergantung kepada situasi dan jenis talak, sama ada talak raj'ie, talak bain sughra atau talak bain kubra," katanya kepada Majoriti.

Irsamuddin menjelaskan, talak raj'ie adalah jenis talak yang membolehkan suami merujuk semula isterinya dalam tempoh iddah. 

"Dalam situasi talak raj'ie, bekas suami diwajibkan untuk menyediakan nafkah kepada bekas isteri sepanjang tempoh iddah, sebagaimana dia menyediakan nafkah semasa mereka hidup bersama sebagai suami isteri.

Ini bermakna, nafkah yang disediakan itu lengkap, melibatkan tempat tinggal, makan minum, pakaian dan perubatan.

Namun, penting untuk diingatkan bahawa kewajipan nafkah ini hanya berlangsung selama tempoh iddah sahaja. Setelah tamatnya iddah, bekas suami tidak lagi bertanggungjawab terhadap nafkah tersebut. 

Dalam erti kata lain, hak-hak wanita dalam tempoh iddah ini adalah sementara dan bergantung kepada tempoh iddah.

Beautiful pregnant woman in rich pink dress holds hands on her belly posing in luxury white room

Bekas suami masih wajib memberi nafkah lengkap kepada isteri yang hamil walapun bercerai talak bain. — Gambar hiasan/Freepik

Berbeza dengan talak raj'ie, talak bain merujuk kepada talak yang tidak boleh dirujuk semula oleh suami. Terdapat dua jenis talak bain, iaitu talak bain sughra (talak pertama atau kedua) dan talak bain kubra (talak ketiga).

Irsamuddin berkata, dalam kedua-dua jenis talak bain, hak-hak wanita adalah terhad.

"Dalam talak bain, bekas suami hanya diwajibkan untuk menyediakan tempat tinggal kepada bekas isteri sepanjang tempoh iddah. Dia tidak diwajibkan untuk memberikan nafkah seperti makan minum atau pakaian," jelasnya.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian dalam situasi talak bain yang berlaku ketika isteri mengandung. Jika wanita tersebut mengandung, bekas suami wajib memberi nafkah tambahan.

"Jika isteri mengandung, walaupun perceraian itu talak bain, bekas suami masih wajib menyediakan makan minum, pakaian, dan perubatan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab nafkah semasa tempoh iddah," ujarnya.

Berdasarkan penjelasan Irsamuddin, hak-hak wanita semasa tempoh iddah sangat bergantung kepada jenis talak yang dilalui.

Untuk talak raj’ie, wanita berhak menerima nafkah lengkap seperti dalam tempoh perkahwinan, manakala dalam kes talak bain, bekas suami hanya perlu menyediakan tempat tinggal sahaja, kecuali jika wanita mengandung.

“Pemahaman yang betul mengenai hak-hak wanita dalam iddah ini penting agar setiap pihak dapat menjalani tempoh tersebut dengan adil,” kata Irsamuddin.

Oleh itu, wanita yang melalui perceraian harus memahami jenis talak yang dihadapi dan hak-hak yang sepatutnya diterima semasa menjalani tempoh iddah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram