Pendandan rambut lelaki direman 7 hari, disyaki cabul aktor sambilan yang juga pelajar kolej di Melaka


  • 112
  • Isnin, 20 Jan 2025

Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Melaka pada Isnin.

SEORANG pendandan rambut lelaki direman tujuh hari selepas didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang aktor sambilan berusia 18 tahun di salun rambutnya di Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat minggu lepas.

Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Melaka pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek direman sehingga 26 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah.

BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara

BACA LAGI: [VIDEO] Hampir 30 minit nyawa 'bergayut, pengunjung trauma 'roller coaster' tiba-tiba gagal berfungsi

Md Nazri berkata, pada awalnya, mangsa yang juga merupakan pelajar di sebuah kolej di Bangi, Selangor itu datang ke salun suspek kira-kira pukul 3 petang Jumaat selepas tertarik dengan tawaran lelaki itu yang mahu memberikan khidmat dandanan rambut secara percuma.

“Selepas sesi penggayaan rambut, suspek menawarkan urutan badan secara percuma dan mangsa bersetuju kerana sudah lama mengenalinya,” katanya.

Md Nazri berkata, ketika suspek sedang mengurut paha mangsa, tiba-tiba dia mula bertindak pelik dan mula melakukan serangan seksual terhadap mangsa.

"Mangsa yang ketakutan kemudian keluar dari salun dan mengambil masa sehari untuk mengatasi trauma sebelum membuat laporan polis pada Sabtu," katanya.

Md Nazri berkata, sepasukan anggota polis menahan suspek pukul 4.30 petang Ahad di rumahnya di Ayer Keroh.

Tambahnya, mangsa merupakan anak sulung dalam kalangan tiga beradik dan bekerja sambilan sebagai pelakon teater di ibu negara. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram