Kelas ala kafe hipster, pelajar SMK Kubang Kerian lebih semangat, teruja belajar


  • Relaks
  • Selasa, 29 Apr 2025

Kelas itu kini tampak seperti sebuah kafe hipster yang moden, kemas dan serba minimalis.

DI satu sudut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kelantan, sebuah bilik darjah yang dahulunya biasa-biasa sahaja kini bertukar wajah menjadi ruang pembelajaran begitu menenangkan dan inspiratif.

Melalui hasil usaha guru-guru Bahasa Inggeris yang penuh dedikasi, kelas itu kini tampak seperti kafe hipster yang moden, kemas dan serba minimalis.

Ia sangat jauh berbeza daripada imej kelas konvensional yang sering kita bayangkan.

BACA LAGI: Tukar kepada hipoalergenik, karpet berbulu tebal undang risiko kesihatan jangka panjang

BACA LAGI: Terapi semula jadi, lampu garam hiasan efektif bantu redakan tekanan emosi

Transformasi bilik darjah itu bukan sekadar perhiasan biasa apabila ia hadir dengan perabot putih bersih, susun atur meja yang kemas, pokok-pokok hiasan hijau yang menyegarkan mata serta pencahayaan semula jadi yang masuk melalui tingkap besar.

Suasana tersebut memberi impak besar kepada keselesaan dan kesejahteraan mental pelajar.

Pemilihan tema grid putih pada meja juga memberi kesan visual yang tersusun dan tenang juga sangat membantu dalam mengekalkan fokus pelajar ketika sesi pembelajaran berlangsung.

Bukan itu sahaja, ruang tersebut turut dihiasi rak buku yang tersusun rapi dan papan kenyataan dikemas kini dengan maklumat terkini.

Pemilihan tema grid putih pada meja juga memberi kesan visual yang tersusun dan tenang.

Semuanya disusun bukan sekadar untuk estetika, tetapi juga menanam rasa kepunyaan dalam diri murid terhadap ruang pembelajaran mereka.

Apabila pelajar masuk ke kelas yang cantik, bersih dan ceria seperti itu, secara tidak langsung ia meningkatkan motivasi dan minat mereka terhadap pelajaran, khususnya subjek Bahasa Inggeris sering dianggap mencabar.

Kesan psikologi kepada pelajar dalam suasana kelas begini sangat besar.

Mereka rasa dihargai, diraikan dan lebih cenderung untuk hadir ke sekolah dengan suasana bilik darjah yang indah dan selesa.

Semua disusun bukan sekadar untuk estetika, tetapi juga menanam rasa kepunyaan dalam diri murid terhadap ruang pembelajaran mereka.

Ia juga boleh membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan keyakinan diri serta mendorong interaksi yang lebih positif antara pelajar dan guru.

Usaha seperti itu juga membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya tentang silibus dan peperiksaan semata-mata, tetapi juga tentang mencipta persekitaran yang kondusif, penuh kasih sayang dan menyemai rasa bahagia dalam diri anak-anak.

Semoga lebih banyak sekolah mengikuti jejak langkah guru-guru Bahasa Inggeris untuk memberikan yang terbaik buat generasi masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram