
SEMAKIN hampir dengan acara fesyen paling berprestij dunia, Met Gala 2025, tumpuan kembali terarah kepada siapa yang bakal muncul di karpet merah dan bagaimana mereka dipilih.
Diadakan pada setiap musim bunga di The Metropolitan Museum of Art, New York, Amerika Syarikat (AS), Met Gala bukan sekadar malam penuh glamor, bahkan ia adalah gabungan seni, status sosial dan kuasa pengaruh dalam dunia fesyen.
Dengan tema berbeza setiap tahun dan kehadiran nama-nama besar dari Hollywood, dunia seni, perniagaan dan media sosial, acara tersebut kekal menjadi acara paling eksklusif dalam kalendar fesyen global.
Namun, di sebalik glamor dan popularitinya, ramai tertanya-tanya, siapakah yang menentukan senarai jemputan untuk acara eksklusif ini?
BACA LAGI: Manjakan kulit wajah ibu dengan serum mewah sambil bergambar di kios konsep moden, 'Instagrammable'
Anna juga merupakan seorang wartawan sebelum memegang jawatan Ketua Pengarah Vogue. — Instagram/theannawintour
Figura paling berkuasa di Met Gala
Ketua Pengarang Vogue, Dame Anna Wintour, merupakan individu utama yang menentukan siapa yang layak menerima jemputan ke Met Gala.
Beliau menyemak dan meluluskan setiap jemputan secara peribadi. Hanya mereka yang mendapat kelulusannya termasuk selebriti terkenal, pereka fesyen, pempengaruh dan individu penting lain yang akan dijemput.
Tidak seperti kebanyakan acara amal yang membenarkan sesiapa hadir dengan bayaran sumbangan besar, Met Gala dijalankan secara tertutup dan penuh selektif.
Michelle Yeoh antara tetamu jemputan pada Met Gala 2024. — Dimitrios Kambouris/Getty Images
Peranan jenama fesyen mewah
Selain itu, jenama fesyen seperti Chanel, Gucci, Valentino dan Louis Vuitton turut memainkan peranan besar.
Mereka membeli meja yang berharga antara AS$200,000 hingga AS$300,000 (lebih RM950,000) dan memenuhinya dengan selebriti pilihan mereka yang sering kali terdiri daripada duta jenama, muse atau rakan kolaborasi terkini.
Tiket peribadi juga perlu kelulusan
Ada laporan yang menyatakan individu boleh membeli tiket secara peribadi pada harga sekitar AS$50,000 (sekitar RM240,000), tetapi masih memerlukan kelulusan akhir daripada Anna.
Ini menunjukkan betapa eksklusifnya acara berkenaan dan mengapa ia menjadi acara fesyen yang paling dinanti-nanti setiap tahun.
Bagi edisi 2025, Anna akan bergandingan sebagai pengerusi bersama beberapa nama besar antaranya LeBron James, Pharrell Williams, Colman Domingo, A$AP Rocky dan Lewis Hamilton.
Pengerusi bersama Met Gala 2024, Bad Bunny tampil berani dalam persalinan rekaan pereka fesyen British, John Galliano. Dia Dipasupil/Getty Images
Tema 2025: Superfine: Tailoring Black Style
Tahun ini, Met Gala mengangkat tema Superfine: Tailoring Black Style yang menelusuri sejarah dan evolusi gaya lelaki berkulit hitam dari Eropah abad ke-18 sehingga ke hari ini.
Tema tersebut diilhamkan daripada buku Slaves to Fashion karya Monica L. Miller.
Kod pakaian tahun ini, Tailored for You memberi ruang kepada setiap tetamu untuk mentafsir dan menggayakan tema dengan ekspresi peribadi masing-masing, namun pastinya tetap dalam kerangka elegan yang dirai oleh Met Gala.
Karpet merah Met Gala 2025 dijadual berlangsung pada 5 Mei dan seperti biasa, hanya yang terpilih oleh Anna akan berada di sana. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram