Pernah dibuli kerana pekak, wanita ubah implan koklea jadi aksesori, bantu kutip dana untuk kanak-kanak


  • Relaks
  • Selasa, 29 Apr 2025

Hasil ciptaan Gargi memenangi pertandingan antarabangsa rekaan barang kemas khusus alat pendengaran. —  Loughborough University

"SAYA rasa kecacatan tidak sepatutnya disembunyikan. Ini bukan soal gaya, tetapi mengangkat suara-suara sering tidak didengari."

Itu kata-kata diungkapkan oleh Gargi Agrawalla.

Dilahirkan dengan masalah pendengaran serius, beliau berazam untuk memberi inspirasi kepada golongan muda yang senasib selepas memenangi pertandingan antarabangsa mereka bentuk barang kemas khas digunakan bersama implan koklea dan alat bantu pendengaran.

BACA LAGI: Sambut kelahiran sulung, 4 petanda penting suami isteri perlu cakna bermula trimester pertama

BACA LAGI: Aktif memperjuang hak kanak-kanak, Olivia Rodrigo terima anugerah 'Champion of Change' oleh 'Planned Parenthood'

Gargi percaya bahawa mengubah alat pendengaran menjadi aksesori fesyen mampu memberi kuasa kepada ribuan golongan pekak seluruh dunia. —  Agensi

Rekaan dinamakan Junkyard Dog Flower dihasilkan menjadi barang kemas oleh jenama terkenal Deafmetal dan kini dijual bagi mengutip dana untuk badan kebajikan Auditory Verbal United Kingdom (UK).

"Ia tentang mengubah sesuatu yang biasa kepada sesuatu penuh ekspresi dan bergaya, sekali gus membantu pemakai berasa lebih yakin dan bangga dengan identiti mereka," katanya.

Gargi yang mula menggunakan implan koklea sejak usia 12 tahun berkata, alat itu mengubah hidupnya, namun perjalanan untuk menguasai kemahiran berkomunikasi tetap mencabar.

"Memang susah untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat yang boleh mendengar. Saya hanya bergantung kepada ibu bapa dan beberapa orang seperti ahli terapi pertuturan dan satu dua rakan benar-benar memahami," katanya.

"Saya pernah dibuli ketika membesar. Jadi, untuk diterima dalam masyarakat memang sangat sukar," ujarnya.

Gargi berkata, beliau mendapat inspirasi daripada peserta pekak pertama rancangan Love Island, Tasha Ghouri dan pengasas jenama barang kemas untuk alat pendengaran, Deafmetal iaitu Jenni Ahtiainen.

Tambahnya, mengubah alat pendengaran menjadi aksesori fesyen mampu memberi kuasa kepada ribuan golongan pekak di seluruh dunia.

"Bagi pertandingan itu, saya gunakan tema Junkyard Dog Flower. Ia menjadi simbol ketabahan, dibalut dengan keindahan yang halus seperti pengalaman hidup sebagai seorang yang pekak.

"Kita membesar melalui kesukaran, tetapi tetap mekar akhirnya. Itulah cara saya melihat komuniti pekak," jelasnya.

Sumber kekuatan

Gargi berkata, beliau mahu membantu mengutip dana untuk Auditory Verbal UK supaya lebih ramai kanak-kanak tidak perlu melalui kesusahan seperti dialaminya.

"Mereka membantu bayi dan kanak-kanak pekak membina kemahiran mendengar dan bertutur melalui intervensi awal dan terapi pertuturan auditif.

"Saya percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk berjaya," tegasnya.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk menghubungkan dunia rekaan dan kecacatan dengan mencipta produk, platform dan ruang yang lebih inklusif.

"Saya mahu terus mereka bentuk, memperjuangkan hak dan menginspirasi lebih ramai anak muda, terutama mereka yang mempunyai kecacatan tersembunyi, supaya berbangga dengan identiti mereka dan menjadikannya sumber kreativiti dan kekuatan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram