Kediaman terasa sempit? Kesilapan teknik pemasangan langsir mungkin penyebabnya


  • Relaks
  • Ahad, 27 Apr 2025

Pemasangan batang langsir yang terlalu rapat dengan bingkai tingkap atau terlalu rendah sebenarnya membuatkan ruang nampak lebih sempit dan 'berat'. — Freepik

RAMAI yang tidak sedar, pemasangan langsir yang kurang tepat sebenarnya boleh mencacatkan keseluruhan penampilan ruang dalam rumah.

Langsir bukan sekadar berfungsi untuk menapis cahaya atau menjaga privasi, tetapi ia juga memainkan peranan besar dalam mencipta ilusi keluasan dan ketinggian pada ruang.

Antara masalah paling ketara adalah pemasangan batang langsir yang terlalu rapat dengan bingkai tingkap atau rendah dari siling.

BACA LAGI: 'Tak perlu lapik', meja kayu mampu tahan panas beri kelebihan, jimat wang

BACA LAGI: MITI siasat dakwaan plagiat reka bentuk Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 di Osaka

Ini membuatkan tingkap kelihatan kecil dan ruang menjadi sempit.

Langsir yang hanya menutupi bingkai tingkap tanpa lebihan ke tepi juga menyebabkan cahaya semulajadi terhad, malah mengganggu keseimbangan visual dalam dekorasi dalaman.

Selain itu, penggunaan langsir yang terlalu pendek dan tidak mencecah lantai menjadikan bilik kelihatan kurang kemas dan ‘tergantung’.

Ia memberi kesan seolah-olah ruang tidak selesai dihias, walaupun perabot dan aksesori lain sudah lengkap.

Kesilapan lain yang sering terjadi ialah memilih batang langsir yang terlalu pendek, sehingga langsir terpaksa dikumpulkan dalam ruang sempit bila dibuka.

Itu bukan sahaja mengurangkan kemasukan cahaya, malah menghilangkan kesan dramatik yang sepatutnya dibawa oleh langsir.

Masalah-masalah kecil itu, jika tidak diperbetulkan, membuatkan usaha menghias rumah terasa sia-sia.

 

 

Perkongsian menarik daripada Norasikin Abd Hamid di Facebook baru-baru ini membuka mata ramai tentang satu perkara yang sering kita terlepas pandang iaitu cara sebenar menggantung langsir.

Nampak remeh, tapi kesannya terhadap ruang rumah sangat besar!

Ramai yang tidak sedar, pemasangan batang langsir yang terlalu rapat dengan bingkai tingkap atau terlalu rendah sebenarnya membuatkan ruang nampak lebih sempit dan 'berat'.

Sebaliknya, tip utama ialah gantung batang langsir lebih tinggi hampir ke siling dengan membiarkan langsir jatuh rapat ke lantai akan mencipta ilusi ruang yang lebih tinggi dan luas.

Selain itu, batang langsir juga perlu melebihi sisi tingkap sekurang-kurangnya 13 inci ke kiri dan kanan.

Tujuannya supaya bila langsir diselak, ia tidak menutupi cahaya masuk, malah membuatkan tingkap kelihatan lebih besar daripada saiz asal.

Cara tepat untuk memasang langsir

Melalui visual perkongsian Norasikin, jelas sekali perbezaannya. Pemasangan yang betul menunjukkan langsir dipasang tinggi dan lebar, manakala batang langsir yang terlalu pendek dan rendah adalah salah kerana ia akan menyebabkan ruang nampak sempit serta berat.

Dengan sedikit perubahan teknik itu, suasana rumah boleh berubah 360 darjah lebih luas, kemas, dan elegan, seolah-olah sentuhan dekorasi profesional.

Modalnya hanya teknik yang betul!

Jadi, kalau anda tengah bercadang nak tukar langsir baru, jangan lupa praktikkan trik ini. Kadang-kadang, perubahan kecil membawa impak besar! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram