
KEINGINAN untuk tampil cantik dan memiliki tubuh badan ideal mendorong seorang pempengaruh dari Indonesia, Katrin atau lebih dikenali sebagai Mama Cucit menjalani diet ekstrem sehingga mengalami penurunan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg) dalam tempoh hanya sebulan.
Namun, keputusan itu mengundang padah kepada kesihatannya selepas beliau menghidap penyakit autoimun jenis skleroderma.
Menurut Katrin dalam satu temu bual menerusi sebuah rancangan televisyen tempatan, segala-segalanya berubah selepas beliau baru sahaja menamatkan pengajiannya.
Tanpa panduan daripada pakar, beliau mengatur rancangan dietnya sendiri dengan hanya makan sekali dan melakukan aktiviti sukan secara berlebihan setiap hari.
Penurunan berat badan drastik itu pada awalnya dilihat sebagai satu pencapaian, namun tidak selepas beberapa gejala merisaukan muncul pada dirinya.
"Kulit saya kelihatan seperti terbakar, bentuk fizikal juga berubah, gerak tubuh badan saya gagal berfungsi dengan baik," ceritanya.
Selain itu, penyakit tersebut turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuannya untuk mengandung.
“Saya juga sukar untuk mempunyai anak. Saya bimbang memikirkan jika ada orang yang mahu sama saya," luahnya.
Disember tahun lalu, menerusi akaun TikToknya, beliau juga mendedahkan pernah mengambil suntikan untuk mencerahkan kulitnya sebanyak lima kali pada tahun 2008.
Pada 2009 pula, beliau disahkan menghidap penyakit terlibat.
"Saya cuma mengambil suntikan sebanyak lima kali sahaja tetapi kesannya boleh dilihat sehingga sekarang. Saya sangat menyesal," akuinya.
Memetik sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), skleroderma adalah sejenis gangguan autoimun yang menjejaskan kulit, tisu dan organ dalaman tubuh seseorang.
Memandangkan skleroderma merupakan penyakit autoimun yang jarang berlaku, berikut Majoriti senaraikan gejala biasa skleroderma yang dikongsikan oleh KKM:
1. Kulit menebal, mengeras dan berubah warna kulit
2. Masalah sistem gastrousus
3. Ketulan deposit kalsium di bawah kulit
4. Sakit otot dan sendi
5. Tangan bengkak
6. Saluran darah sempit — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram