
DALAM dunia fesyen yang penuh dengan perubahan, FOMO (Fear of Missing Out) menjadi satu fenomena yang mempengaruhi ramai orang. Istilah itu merujuk kepada perasaan bimbang ketinggalan dalam apa-apa situasi.
Sebahagian besar teruja mendapatkan barangan fesyen terbaharu demi mengikuti trend, sementara yang lain memilih untuk kekal setia dengan gaya peribadi tanpa menghiraukan apa yang sedang trending.
Namun, persoalannya, sejauh mana seseorang sanggup berkorban mendapatkan produk fesyen diidamkan? Adakah mereka rela beratur panjang untuk memenuhi keinginan atau sebaliknya?
Beberapa pempengaruh dan penggemar fesyen berkongsi pandangan mereka mengenai fenomena ini.
(Dari kiri) Fatin, Nadia dan Ily masing-masing mempunyai pandangan sendiri terhadap trend fesyen. — Instagram selebriti media sosial
Hannah, salah seorang pempengaruh yang ditemui, mengakui bahawa beliau tidak terlalu terpengaruh dengan trend fesyen disifatkan datang dan pergi.
"Saya ada gaya sendiri lebih kepada basic, tetapi kalau ada item trendy yang sesuai, saya padankan dengan stail saya," katanya kepada Majoriti.
Fatin Noraishah pula berkongsi pandangan serupa, mengatakan bahawa lebih memilih pakaian sesuai dan selesa berbanding mengikuti arus trend semata-mata.
"Saya jenis tak FOMO. Saya pakai apa dirasa sesuai dan selesa," katanya yang juga ibu kepada seorang anak.
Bagi Nadia Azlan Shah, beliau menyifatkan fesyen lebih kepada pilihan peribadi.
"Saya tak FOMO. Saya ikut sahaja apa-apa yang dirasakan cantik, manis. Saya tidaklah ikut trend sangat," ujar beliau.
Dalam pada itu, Ily Hanhadi juga berkongsi perspektif sama, menegaskan bahawa beliau hanya akan mengikut trend jika ia benar-benar sesuai.
"Saya rasa saya di tengah-tengah. Ikut juga trend, tetapi kena tahu sesuai tak dengan saya," kata Ily.
Manakala Syamimi Malek mengambil kira faktor kewangan.
"Kalau saya memang tidak FOMO sebab tiada duit. Kalau ada duit, memang akan ikut semua trend-trend fesyen," katanya berseloroh.
Segelintir penggemar fesyen hanya mengikuti trend jika ia sesuai dengan diri mereka. — Gambar hiasan/Freepik
Sanggup beratur panjang?
Bukan hanya menjelang raya, beberapa jenama lokal mengambil pendekatan untuk memasarkan produk mereka menerusi pop-up store sehingga ramai penggemar fesyen sanggup beratur panjang untuk mendapatkan item idaman.
Namun, tidak semua mempunyai tahap kesabaran sama.
"Saya tak sanggup beratur panjang kerana lebih suka beli dalam talian atau tunggu sehingga trend reda," kata Hannah.
Sebaliknya, Fatin berpendapat bahawa beratur panjang tidak menjadi masalah sekiranya produk itu benar-benar diminati.
"Kalau saya memang suka dan sudah lama tunggu, saya rasa berbaloi untuk beratur," katanya.
Nadia pula mengakui bahawa jarang beratur untuk barangan fesyen, namun tidak teragak-agak beratur demi makanan kegemarannya.
Mengenai fenomena anak muda yang sanggup beratur berjam-jam, ramai berpendapat ia bergantung kepada minat individu.
"Bagi mereka yang sanggup beratur, itu adalah usaha sendiri. Mungkin benar-benar minat atau ada sebab tersendiri seperti mahu menjual semula barang tersebut untuk menjana pendapatan," ujar Nadia.
Syamimi juga berpandangan serupa, menyatakan bahawa setiap orang mempunyai minat tersendiri dan tidak sepatutnya dikritik jika memilih untuk beratur bagi sesuatu item digemari.
Bagi Fatin dan Nadia, trend selendang dan baju kebaya potongan longgar menjadi fesyen yang kembali popular tahun ini. — Instagram selebriti media sosial
Trend fesyen kembali popular
Dalam perbincangan mengenai trend fesyen yang kembali popular, ramai bersetuju elemen klasik sedang mendominasi pasaran.
"Saya rasa selendang kembali popular tahun ini. Banyak jenama mengeluarkan rekaan baju kurung dengan tambahan selendang," kata Hannah.
Pendapat ini turut disokong oleh Fatin sering melihat trend klasik semakin diminati semula.
"Kebanyakan jenama kini membawa kembali reka bentuk lama dengan sentuhan moden," katanya.
Nadia pula berpendapat bahawa kebaya longgar akan menjadi pilihan utama tahun ini, menggantikan potongan ketat yang semakin jarang kelihatan.
Bagi Ily, warna merah dijangka menjadi warna pilihan dalam dunia fesyen tahun ini.
"Saya rasa warna merah akan menjadi trend, selain selendang yang masih relevan," katanya.
Fesyen adalah satu bentuk ekspresi diri yang unik bagi setiap individu. Walaupun ada yang gemar mengikut trend semasa, ramai juga lebih selesa gaya peribadi.
Sementara itu, fenomena beratur panjang untuk mendapatkan produk fesyen tertentu terus menjadi perdebatan. Ada yang melihatnya sebagai satu bentuk dedikasi, manakala yang lain lebih memilih keselesaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram