Tukar kepada hipoalergenik, karpet berbulu tebal undang risiko kesihatan jangka panjang


  • Relaks
  • Isnin, 28 Apr 2025

Karpet berbulu membawa beberapa risiko kesihatan yang tidak boleh diabaikan.

KARPET berbulu sering menjadi pilihan ramai untuk menghias ruang tamu atau bilik tidur kerana sifatnya yang lembut, mewah dan mampu memberikan rasa kehangatan dalam rumah.

Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, karpet berbulu dilihat sebagai pelindung tambahan kerana ia dapat mengurangkan risiko kecederaan sekiranya kanak-kanak terjatuh.

Permukaannya yang empuk juga memberi peluang kepada si kecil untuk bergerak dengan lebih bebas dan selesa, selain merangsang perkembangan deria sentuhan mereka melalui tekstur lembut yang unik.

BACA LAGI: Kediaman terasa sempit? Kesilapan teknik pemasangan langsir mungkin penyebabnya

BACA LAGI: Selepas 15 tahun bermastautin di bumi Afrika, Genevieve ubah suai kediaman Bukit Jelutong seakan berada di tengah savana

Namun di sebalik kelebihannya, karpet berbulu membawa beberapa risiko kesihatan yang tidak boleh diabaikan, terutamanya bagi kanak-kanak yang mempunyai sistem imun dan pernafasan yang lebih sensitif.

Karpet jenis itu cenderung untuk memerangkap habuk, bulu haiwan, debunga serta hama rumah yang sukar dilihat dengan mata kasar.

Bahan-bahan pencemar itu boleh mencetuskan pelbagai reaksi alahan seperti bersin, batuk, sesak nafas, atau dalam kes yang lebih serius, serangan asma.

Selain itu, karpet berbulu juga boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan kulat jika tidak dijaga dengan betul, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kulit dan masalah pernafasan.

Karpet berbulu membawa beberapa risiko kesihatan yang tidak boleh diabaikan.

Tumpahan makanan, susu atau air kencing yang tidak dibersihkan dengan sempurna boleh menyebabkan karpet berbulu menyerap bau yang kurang menyenangkan.

Ini bukan sahaja mencacatkan keselesaan rumah, malah boleh mewujudkan persekitaran yang tidak sihat, terutama bagi kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di atas lantai.

Bagi mengurangkan risiko kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan karpet berbulu, penjagaan rapi adalah sangat penting.

Membersihkan karpet menggunakan vakum berkuasa tinggi perlu dilakukan dengan kerap, sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu untuk memastikan habuk dan kotoran tidak berkumpul.

Bahan hipoalergenik mengurangkan pengumpulan alergen, sekali gus lebih mesra kepada pernafasan kanak-kanak.

Karpet juga perlu dihantar untuk cucian profesional sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi membuang kotoran mendalam serta menghapuskan hama dan bakteria.

Sekiranya berlaku tumpahan, tindakan pantas sangat penting kerana kotoran perlu dibersihkan serta-merta menggunakan kain bersih dan larutan detergen yang sesuai bagi mengelakkan pembentukan bau dan kerosakan tekstur bulu.

Penggunaan alat penapis udara di dalam rumah juga sangat digalakkan bagi membantu mengurangkan kehadiran alergen di udara, selain memastikan rumah mempunyai pengudaraan yang baik untuk mencegah kelembapan berlebihan yang boleh menggalakkan pertumbuhan mikroorganisma.

Bagi keluarga yang tetap ingin menikmati keindahan karpet berbulu tanpa berkompromi dengan kesihatan anak-anak, memilih karpet daripada bahan hipoalergenik merupakan langkah bijak.

Bahan itu direka untuk mengurangkan pengumpulan alergen, sekali gus lebih mesra kepada pernafasan kanak-kanak.

Secara keseluruhannya, karpet berbulu memang memberikan keindahan dan keselesaan kepada rumah, tetapi ia juga memerlukan komitmen penjagaan yang teliti.

Dengan penjagaan yang betul, risiko kesihatan dapat diminimumkan, membolehkan suasana rumah kekal sihat dan selesa untuk semua, terutamanya buat si kecil yang sedang membesar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram