
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, dunia reka bentuk rumah mula menyaksikan kebangkitan satu trend yang unik iaitu pembinaan dapur outdoor premium.
Walaupun konsep memasak di luar rumah telah lama wujud bermula sejak era tamadun awal yang mana aktiviti memasak dilakukan di ruang terbuka untuk mengelakkan asap memenuhi ruang dalam rumah.
Kini, dapur outdoor diberi nafas baharu dengan rekaan lebih eksklusif, moden, dan fungsional.
BACA LAGI: Kediaman terasa sempit? Kesilapan teknik pemasangan langsir mungkin penyebabnya
Dapur outdoor moden menggabungkan keindahan alam dengan kepraktisan ruang dapur lengkap.
Tidak lagi sekadar kawasan barbeku biasa, dapur outdoor hari ini dilengkapi dengan kelengkapan serba canggih seperti dapur gas bertaraf profesional, sinki tahan cuaca, peti sejuk mini dan ruang penyimpanan elegan yang disusun dalam rekaan terbuka.
Seperti dalam perkongsian Facebook Nest & Nook, dapur outdoor dibina dalam suasana taman yang tenang, dilindungi oleh struktur bumbung kayu bergaris moden.
Dapur outdoor juga dikelilingi kehijauan semula jadi dan diterangi dengan pencahayaan hangat yang mencipta suasana santai dan eksklusif.
Fungsi dapur outdoor tidak hanya tertumpu kepada memasak apabila ia juga menjadi ruang sosial utama, tempat keluarga dan rakan-rakan berkumpul, berbual dan berkongsi hidangan sambil menikmati udara segar.
Fungsi dapur outdoor tidak hanya tertumpu kepada memasak apabila ia juga menjadi ruang sosial utama.
Pengudaraan semula jadi dan panorama kehijauan menambah nilai pada setiap momen yang diluangkan di situ, sesuatu yang sukar diperoleh dalam dapur tertutup tradisional.
Reka bentuk seperti itu semakin digemari kerana ia menawarkan pengalaman hidup yang lebih santai dan berhubung dengan alam, terutama di tengah-tengah gaya hidup moden yang sering sibuk dan tertutup.
Malah, dalam banyak projek pembangunan kediaman terkini, dapur outdoor mula menjadi satu elemen jualan utama dengan mencerminkan bagaimana trend itu telah berkembang daripada keperluan asas kepada satu simbol status dan gaya hidup mewah.
Dengan reka bentuk yang bijak dan penggunaan bahan berkualiti tinggi seperti konkrit, kayu keras, serta keluli tahan karat, dapur outdoor bukan sahaja menambah estetika rumah, malah turut meningkatkan nilai hartanah secara keseluruhan.
Dapur outdoor mula menjadi satu elemen jualan utama dengan mencerminkan bagaimana trend itu telah berkembang.
Mengenai kos, harga untuk membina dapur outdoor premium di Malaysia pada 2025 secara amnya bermula sekitar RM15,000 hingga RM30,000 untuk setup asas yang merangkumi gril, sinki, table top dan sedikit perlindungan bumbung.
Bagi mereka yang mahukan kelengkapan lebih lengkap seperti oven piza, peti sejuk mini serta kabinet tahan karat, kos boleh meningkat kepada sekitar RM30,000 hingga RM60,000.
Untuk dapur outdoor dengan ciri-ciri seperti dapur penuh, island besar, bumbung premium, pencahayaan khas dan mungkin juga tambahan seperti air terjun mini atau bar minuman, kosnya boleh mencecah RM60,000 hingga RM120,000 atau lebih, bergantung kepada pilihan bahan, saiz kawasan dan kerumitan rekaan.
Kos itu turut dipengaruhi oleh jenama peralatan dapur yang dipilih sama ada import atau tempatan, kos buruh berdasarkan tahap kepakaran kontraktor, serta elemen tambahan seperti kerja paip, pendawaian elektrik, dan pemilihan jubin atau lantai khusus untuk outdoor.
Oleh itu, penting untuk merancang bajet dengan teliti dan berbincang dengan kontraktor berpengalaman untuk memastikan dapur outdoor bukan sahaja cantik, tetapi juga praktikal dan tahan lama.
Trend dapur outdoor membuktikan bahawa memasak tidak semestinya terperangkap di antara empat dinding, sebaliknya boleh menjadi pengalaman terbuka yang menghubungkan manusia dengan alam secara serentak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram