
SELEPAS seharian berdepan dengan kesibukan kerja, tekanan trafik dan bebanan tugasan yang tidak pernah surut, setiap insan mengimpikan suasana rumah yang mampu menawarkan ketenangan mutlak.
Dalam pencarian itu, lampu garam Himalaya mula mendapat perhatian kerana dikatakan mampu membantu memulihkan kesihatan tubuh dan emosi secara semula jadi.
Lampu garam yang diperbuat daripada kristal garam semula jadi itu bukan sekadar berfungsi sebagai hiasan indah di sudut rumah.
BACA LAGI: Tukar kepada hipoalergenik, karpet berbulu tebal undang risiko kesihatan jangka panjang
Ramai percaya bahawa cahaya lembut dan hangat yang dipancarkan daripada lampu itu berupaya mencipta suasana yang menenangkan, mengurangkan stres dan membantu minda untuk lebih relaks.
Selepas pulang daripada hari yang panjang dan penuh tekanan, kehadiran lampu garam di ruang tamu atau bilik tidur seakan menjadi terapi semula jadi untuk mengembalikan keseimbangan emosi.
Dari sudut kesihatan, lampu garam dikatakan menghasilkan ion negatif yang membantu menyingkirkan zarah-zarah pencemar di udara.
Walaupun kesan itu masih menjadi perdebatan dalam dunia sains moden, ramai pengguna mendakwa berasa lebih segar, tidur lena dan bernafas dengan mudah apabila menghidupkan lampu garam secara konsisten.
Aura semula jadi yang dipancarkan daripada lampu itu juga dikatakan mampu memperbaiki suasana hati, mengurangkan kegelisahan dan meningkatkan kualiti tidur dengan sesuatu yang sangat berharga selepas melalui hari-hari penuh tekanan.
Dari segi kos, lampu garam hadir dalam pelbagai saiz dan bentuk dengan harga yang berpatutan.
Untuk sebuah lampu bersaiz kecil hingga sederhana, harga biasanya bermula sekitar RM40 hingga RM150, bergantung kepada kualiti garam dan kemasan reka bentuknya.
Ia menjadi pilihan yang mampu dimiliki untuk membawa sentuhan ketenangan ke dalam rumah tanpa perlu berbelanja besar.
Penjagaan lampu garam juga tidaklah rumit, memandangkan garam bersifat menyerap kelembapan, lampu ini perlu diletakkan di kawasan yang kering untuk mengelakkan ia 'berpeluh'.
Ketika tidak digunakan, lampu perlu sentiasa dinyalakan bagi membantu mengeringkan permukaannya.
Lampu garam dikatakan menghasilkan ion negatif yang membantu menyingkirkan zarah-zarah pencemar di udara.
Jika berlaku pengumpulan wap air, cukup sekadar mengelapnya secara perlahan-lahan dengan kain kering dan lembut.
Lampu ini juga perlu dijauhkan daripada bilik mandi atau kawasan dapur yang sentiasa lembap.
Dalam dunia moden yang penuh dengan tekanan, mencari ruang untuk memulihkan diri menjadi keperluan, bukan lagi pilihan.
Lampu garam bukan sekadar pelengkap dekorasi, tetapi boleh menjadi teman setia dalam perjalanan mengekalkan kesejahteraan fizikal dan emosi.
Dengan kos yang berpatutan dan penjagaan yang mudah, lampu garam menawarkan satu alternatif semula jadi untuk membawa ketenangan, kehangatan dan kesihatan ke dalam kehidupan seharian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram