Mahu kejar impian dalam bidang perubatan, wanita tekad ambil SPM pada usia 36 tahun


  • Relaks
  • Ahad, 27 Apr 2025

Rusni Shafiya Ruslan bertekad untuk mengambil SPM tahun ini.

SEORANG wanita berusia 36 tahun bertekad untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini demi merealisasikan impiannya dalam menceburi bidang perubatan.

Usahawan, Rusni Shafiya Ruslan berkata, beliau mengambil tiga subjek dalam aliran Sains Tulen iaitu Biologi, Fizik dan Kimia bagi peperiksaan tersebut.

Rusni berkata, sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan menjadi pendorong utama untuk beliau mengejar cita-cita sebagai seorang doktor, meskipun usianya hampir mencecah 40 tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak hanya lindungi diri dari gempa, banyak sebab ibu bapa di Jepun sanggup berhabis hampir RM4,000 demi beg sekolah anak

BACA LAGI: Naskhah Osman Ali bongkar kisah mistik, misteri kehilangan kanak-kanak zaman dahulu

“Ibu saya hanya tergelak apabila saya nyatakan hasrat untuk mengambil semula SPM tetapi adik saya, Dr Nur Hanisa Ruslan yang merupakan seorang pakar bedah menjadi sumber inspirasi terbesar saya.

“Rakan-rakan saya dalam bidang perubatan juga sering berkongsi kisah kerjaya mereka yang menyemarakkan lagi minat saya terhadap dunia hospital dan bidang perubatan,” katanya.

Rusni Shafiya yang berasal dari Kluang, Johor berkata, minat terhadap bidang perubatan telah mula berputik sejak zaman kanak-kanak lagi.

Namun, sebagai seorang ibu kepada tiga anak, beliau terpaksa mengetepikan impiannya dahulu disebabkan kekangan kewangan dan komitmen keluarga.

“Tahun ini, saya nekad untuk mencuba semula. Kini, saya memberi tumpuan kepada subjek-subjek penting seperti Biologi, Fizik dan Kimia.

“Perancangan saya selepas ini adalah untuk menyambung pengajian ke program asas universiti. Saya lebih cenderung kepada program asas berbanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana ia lebih intensif dan suasananya hampir menyerupai pembelajaran di universiti.

“Sekiranya semuanya berjalan lancar, saya anggarkan tempoh enam tahun diperlukan untuk menamatkan pengajian dalam bidang perubatan,” katanya.

Mengulas mengenai bidang kepakaran yang diminati, Rusni Shafiya berkata, beliau masih belum membuat pilihan muktamad.

“Saya ada sedikit kecenderungan terhadap bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G) atau Pediatrik, tetapi saya terbuka untuk meneroka bidang lain semasa dalam pengajian nanti.

“Saya yakin dengan usaha dan sokongan, insya-ALLAH impian saya akan menjadi kenyataan,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram