Selepas 15 tahun bermastautin di bumi Afrika, Genevieve ubah suai kediaman Bukit Jelutong seakan berada di tengah savana


  • Relaks
  • Ahad, 27 Apr 2025

Teres ruang makan terbuka sepenuhnya menghadap arah taman.

RUANG kediaman berkonsepkan dalam-luar kini menjadi impian ramai pemilik rumah dan tidak hairanlah mengapa.

Siapa yang tidak mahu memaksimumkan ruang untuk bersantai dan berhibur, sambil dikelilingi keindahan alam semula jadi?

Bagi sebuah keluarga ini, hubungan erat antara keselesaan rumah dan keindahan persekitaran alam nyata terasa dalam setiap sudut kediaman mereka.

BACA LAGI: Kediaman terasa sempit? Kesilapan teknik pemasangan langsir mungkin penyebabnya

BACA LAGI: 'Tak perlu lapik', meja kayu mampu tahan panas beri kelebihan, jimat wang

Bumbung berbentuk segitiga membantu menyejukkan ruang tamu utama.

Menurut pemilik rumah, Genevieve, keinginan untuk membina rumah sendiri di Malaysia benar-benar tercetus ketika pandemik, selepas bertahun-tahun menetap di luar negara.

Ketika mencari arkitek yang sesuai, beliau dan suami bertemu dengan Melvyn Kanny dari MJ Kanny Architect, yang terkenal dengan pendekatan estetik semula jadi dan kepekaan terhadap kelestarian.

Ini akhirnya meyakinkan mereka untuk bekerjasama.

"Sewaktu pandemik melanda, saya dan anak lelaki pulang dahulu ke Malaysia, diikuti suami serta dua orang anak perempuan kami. Kami tinggal di sebuah rumah tiga tingkat yang cantik, namun saya dapati ia sangat memenatkan untuk turun naik setiap hari. Kami sedar ia bukan rumah ideal untuk persaraan kerana anak-anak juga sudah dewasa," kata Genevieve.

Tetamu yang memasuki rumah akan terkejut dengan kehadiran elemen air dan sebatang pokok kecil sekali gus mewujudkan pengalaman luar biasa.

Mereka mengimpikan kehidupan sederhana dengan lebih banyak ruang luar.

Maka, keputusan diambil untuk membina sebuah rumah yang benar-benar mengutamakan unsur alam semula jadi.

Tanah kosong di Bukit Jelutong yang sekian lama tidak dibangunkan akhirnya menjadi lokasi sempurna untuk membina kediaman tersebut, yang diberi nama The Enclave House.

Walaupun baru dibina, reka bentuk luarannya berjaya menonjolkan pesona ruang luar-dalam, seiring dengan kisah hidup keluarga itu.

"Kami pernah tinggal di beberapa negara di Afrika selama hampir 15 tahun. Ada sebuah rumah di Afrika Selatan yang sangat saya sayangi, dan saya mahu rumah baru itu membawa perasaan yang sama," kongsi Genevieve.

Bahagian utama rumah satu setengah tingkat pada waktu petang.

Oasis Alam Semula Jadi

Hasilnya adalah sebuah kediaman satu setengah tingkat berkeluasan 557 meter persegi yang lari daripada norma reka bentuk rumah tipikal dua tingkat di Malaysia.

Setiap bilik direka agar terbuka kepada pemandangan hijau sekeliling, memaksimumkan keindahan alam sekitar.

Melangkah masuk, tetamu akan disambut dengan ciri air dan pohon kemboja yang menjadi elemen utama ruang, serta membangkitkan suasana tenang seolah-olah masih berada di luar rumah.

"Ramai tetamu kami terkejut kerana dari luar, rumah itu kelihatan sederhana sahaja. Mereka selalu berkata ia terasa seperti melangkah masuk ke resort!" kata Genevieve sambil ketawa.

Pencahayaan semula jadi membanjiri ruang menerusi siling tinggi, yang turut membantu pengudaraan dalaman.

Ciri air yang mengelilingi rumah juga bertindak sebagai pemisah visual antara ruang awam seperti ruang tamu dan ruang peribadi seperti bilik tidur.

Genevieve menyatakan dapur dan ruang makan, yang menghadap taman melalui teres terbuka, adalah bahagian kegemarannya dalam rumah.

"Saya sangat suka meluangkan masa di sini. Kami juga suka menerima tetamu, jadi susun atur rumah ini memang memudahkan kami mengadakan majlis atau sekadar menikmati malam tenang bersama keluarga," tambahnya.

Bilik tidur utama menghadap ke taman.

Sentuhan Peribadi Penuh Kenangan

Setiap sudut rumah menceritakan kisah kehidupan mereka di luar negara, dengan dekorasi bertemakan Afrika menghiasi ruang.

Sebuah arca perahu kayu Afrika yang dibawa pulang pada 2007 serta manik-manik kaca dari Ghana kini menjadi tumpuan di ruang tamu utama.

Genevieve turut berkongsi bahawa mereka masih mengekalkan kebanyakan perabot dari rumah lama mereka.

"Kami sangat menggemari kayu, dan anda boleh lihat elemen kayu hampir di setiap ruang rumah ini."

Dalam mengekalkan estetik semula jadi, dinding konkrit dibiarkan dalam kemasan kasar asal tanpa cat, menjadikan penyelenggaraan lebih mudah.

Selain itu, blok ventilasi konkrit digunakan di sepanjang laluan untuk menggalakkan pengudaraan semula jadi dan menambah karakter pada kediaman.

Menghormati keindahan alam sekitar yang melingkunginya, The Enclave House bukan sahaja memenuhi keperluan gaya hidup moden berkonsepkan ruang dalam-luar, malah menawarkan ketenangan dan keindahan yang sukar ditandingi. — The Star/RINA AHMAD SAPIUDDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram